June 13, 2024

JAKIM perlu agresif terap nilai Qurani dalam masyarakat – Fadillah


KUANTAN – Institusi agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) perlu memainkan peranan lebih agresif untuk menerapkan nilai-nilai Qurani dalam kehidupan bermasyarakat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, tidak ada jalan yang lebih baik untuk membangunkan Malaysia MADANI melainkan dengan membiasakan diri dengan al-Quran, memahami dan menelaah kandungannya agar mudah diterjemahkan dalam kehidupan seharian.

“Kita melihat sendiri bagaimana konflik di Palestin yang berlaku sejak empat dekad yang lalu. Generasi silih berganti tetapi seolah-olah tidak ada jalan perdamaian sepanjang puluhan tahun tersebut.

“Mereka menjadi mangsa sifat iri dan diskriminasi yang diwarisi
zaman-berzaman sehingga mencetuskan kezaliman yang amat
dahsyat.

“Dalam hal ini, saya tekankan bahawa Kerajaan Madani menentang sebarang penindasan, penghapusan kaum dan pembersihan etnik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H/2024M di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah malam ini.

Hadir sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Majlis Tilawah dan Hafazan bermula hari ini hingga Selasa depan menyaksikan penyertaan seramai 110 orang peserta di mana 29 orang adalah peserta manakala 81 orang lagi merupakan peserta hafazan.

Tegas Fadillah lagi,  semua insan layak untuk hidup di muka bumi ini dan mendapat hak kebajikan sama rata dan nilai karamatul insan tidak boleh sama sekali dikesampingkan.

Selain itu, katanya, kerajaan menekankan konsep penyatuan ummah agar ia tertegak atas asas perpaduan dan ukhuwah.

“Al-Quran mengingatkan kita tentang perpaduan, diperjelaskan kepada kita untuk bersatu seperti dalam Surah al-Hujurat dan diterangkan juga untuk menjauhi perkara yang boleh memecah- belahkan masyarakat.

“Di kala kita berbeza pandangan, sedarlah bahawa Allah
mengingatkan kita untuk kembali kepada-Nya dan Rasul-Nya
sepertimana yang termaktub dalam Surah an-Nisa’, ayat 59,” tambahnya.

Masyarakat perlu kembali merujuk kepada al-Quran dan hadis agar umat Islam semua bersatu merujuk kepada sumber yang sama apabila masing-masing mempunyai pendirian yang berbeza-beza.

“Ini adalah petua perpaduan yang Allah titipkan kepada kita dalam Kitab suci-Nya dan apa yang perlu saya nyatakan ialah perpaduan itu adalah kekuatan,” katanya.

Dengan adanya perpaduan, ia dapat memastikan mobilisasi sosial yang kukuh dan stabil serta memberikan dampak positif terhadap kemajuan negara, termasuklah pengukuhan ekonomi dan pembangunan mampan. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top