JAKIM sedia bantu rakyat Palestin yang dirawat di negara ini

JAKIM sedia bantu rakyat Palestin yang dirawat di negara ini


PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedia meneliti bentuk bantuan boleh disalurkan kepada rakyat Palestin cedera yang dibawa ke Malaysia untuk mendapatkan rawatan.

Menteri di Jabatan Perdana (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, buat masa ini biar isu rawatan terhadap mereka diselesaikan terlebih dahulu.

“JAKIM mempunyai unit bimbingan spiritual yang boleh digerakkan bagi membantu kanak-kanak dan wanita yang berdepan tekanan selepas berdepan kematian ahli keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Konvensyen Tranformasi Tanah Perkuburan Islam dan Pengurusan Jenazah Tahun 2024 di Auditorium JAKIM, Kompleks Islam Putrajaya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Na’im berkata, rakyat Malaysia sepatutnya menghargai dan menyokong inisiatif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membawa rakyat Palestin yang cedera itu untuk dirawat di negara ini.

Beliau mengakui terdapat segelintir yang memiliki pendapat berbeza namun sesuatu perkara yang baik perlu disokong semua pihak.

“Kita harus faham sebagai manusia Perdana Menteri juga mempunyai perasaan apabila sesuatu perkara baik dilakukan mendapat kritikan, sudah tentu beliau juga akan terasa,” katanya.

Media hari ini melaporkan Anwar kesal dan sedih atas sikap sesetengah pihak yang mengecam dan mengkritik langkah membawa rakyat Palestin yang cedera untuk dirawat di negara ini.

Perdana Menteri berkata, ada dalam kalangan mereka yang sanggup mencerca usaha murni berkenaan, sedangkan ia tanggungjawab kecil dilakukan atas dasar belas kasihan dan ihsan terhadap rakyat Palestin yang cedera parah akibat menjadi mangsa kezaliman Zionis Israel. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top