JERANTUT: Pekan bersejarah Kuala Tembeling berdekatan Jalan Jerantut-Lipis di sini, yang suatu ketika dahulu menjadi persinggahan ramai pelancong luar dan domestik sejak awal 1980, kini sepi apabila kebanyakan premis berdekatan jeti ditutup sejak 10 tahun lalu.
Situasi itu berlaku kerana wujudnya kemudahan jalan darat dari Jerantut ke Kuala Tahan, justeru pengusaha dan pelancong lebih berminat memilih menggunakan kenderaan darat ke sana yang cuma mengambil selama satu jam 18 minit dengan jarak perjalanan 67 kilometer (km).
Berbanding pengangkutan air iaitu menggunakan bot penambang dari Jeti Kuala Tembeling ke Kuala Tahan, perjalanan mengambil masa hampir tiga jam untuk tiba di pangkalan Jeti Taman Negara.
Pemandu bot pelancong Kuala Tembeling, Ahmad Tarmimi Ismail, 39, berkata, kekurangan pelancong bermula sejak 10 tahun lalu apabila kemudahan jalan darat menjadi pilihan, sehingga dilihat menutup periuk nasi sebilangan kecil pengusaha bot penambang di situ.
“Cuma segelintir pelancong luar khususnya dari barat memilih bot penambang di Jeti Kuala Tembeling untuk perjalanan ke Kuala Tahan.
Itu pun bukan setiap hari cuma dalam tempoh sebulan tiga kali sahaja pelancong yang singgah ke sini untuk menaiki bot.
“Pelancong yang menaiki bot dikenakan tambang antara RM80 hingga RM85 perjalanan ke Kuala Tahan dan difahamkan kadar yang sama juga bagi menaiki kenderaan darat dari Terminal Bandar Jerantut,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Ahmad Tarmimi, sejak beberapa tahun lalu, tidak ada seorang pun pelancong luar singgah di Jeti Kuala Tembeling, sehingga menyebabkan keadaan sepi dan berkemungkinan berterusan jika tidak ada bantuan pihak berwajib untuk memulihkan semula kawasan itu sebagai persinggahan pengunjung.
Perkara sama turut dikongsi Mohd. Khairul Helmi Jusman, 40, yang berkata, senario itu disebabkan oleh pengusaha bas pelancongan lebih suka memilih jalan darat ke Kuala Tahan kerana jarak perjalanan yang singkat. – UTUSAN