Kuala Lumpur: Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd sekali lagi meneruskan tradisi mengibarkan Jalur Gemilang gergasi tahun ini, dengan acara ‘unboxing’ yang akan diadakan di Tower Terrace, Menara Kuala Lumpur, Isnin depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd Nazli Saad berkata sebagai menara ikonik negara, inisiatif projek itu adalah untuk menyokong usaha kerajaan menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan ke-67, selain memupuk semangat patriotisme setiap rakyat Malaysia.
“Orang ramai dijemput memeriahkan acara ‘unboxing’ ini pada 9 pagi dengan harapan ia dapat menyatukan masyarakat Malaysia dari pelbagai agama, bangsa dan latar belakang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sempena Bulan Kebangsaan tahun ini, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd juga menawarkan promosi 60 peratus bagi tiket masuk ke tarikan khas selain pelbagai aktiviti diadakan sehingga Hari Malaysia.
Antaranya ialah pencahayaan menara dengan warna bendera negeri di Malaysia, sayembara deklamasi puisi kemerdekaan, ruangan permainan tradisional, persembahan muzik dan kebudayaan serta pelbagai acara yang boleh disertai oleh para pengunjung tempatan dan antarabangsa.
Maklumat lanjut mengenai acara serta promosi di Menara Kuala Lumpur boleh didapati di akaun media sosial rasmi Menara Kuala Lumpur atau hubungi talian khidmat pelanggan 03-2020 5421 atau di www.kltower.com.my.
© New Straits Times Press (M) Bhd