Jambatan kedua Sungai Golok – Rantau Panjang boleh siap 2026

Jambatan kedua Sungai Golok – Rantau Panjang boleh siap 2026



am@hmetro.com.my

Pasir Mas: Pengumuman Malaysia-Thailand yang mahu mempercepatkan pembinaan jambatan kedua yang menghubungkan Rantau Panjang dan Sungai Golok sebagai isyarat kedua-dua negara mahukan pertumbuhan kawasan ekonomi berjalan pantas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata projek jambatan kedua itu adalah projek yang sekian lama tertangguh sebelum beliau dan Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin memuktamadkan untuk menyegerakan projek berkenaan.

“Projek pembinaan jambatan yang dijangka dimulakan April tahun depan mengambil masa dua tahun, namun hasil perbincangan kita mahu tempoh dipendekkan dan mungkin disiapkan akhir 2026, berbanding jadual asal pada 2027.

“Projek berkenaan akan membabitkan 20 tender syarikat iaitu masing-masing 10 dari Malaysia dan 10 dari Thailand,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Lawatan Kerja di Rantau Panjang, Kelantan dan Sungai Golok, Thailand.

Terdahulu, Perdana Menteri melawat Sungai Golok bersama Srettha sebelum hadir Jamuan Makan Tengahari di Kompleks Apam Putra Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas, di sini.

Mengulas lanjut katanya, walaupun projek pembinaan jambatan kedua itu dipendekkan, namun tetap menitikberatkan aspek kualiti.

“Apabila jambatan kedua Sungai Golok, Rantau Panjang siap, jambatan pertama yang sudah dibina sejak 1971 akan dinaik taraf.

“Impak daripada pembinaan jambatan itu akan merancakkan lagi ekonomi di kedua-dua negara,” katanya.

Pada masa sama, Anwar menggambarkan Srettha seorang yang praktikal dalam menyelesaikan sesuai isu yang disuarakan tanpa mengambil masa yang lama.

Sementara itu, Anwar turut memaklumkan hasil perbincangan dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkaitan beberapa projek dari sudut perniagaan yang boleh dijalankan sementara pembinaan jambatan kedua itu disiapkan.

“Sebagai contoh dengan membina gerai atau warung lebih baik di kawasan berdekatan jambatan. Ia bukan sahaja mampu menarik pengunjung tetapi mengembangkan rangkaian perniagaan,”

katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top