STADIUM adalah nadi semangat penyokong, tempat sorakan bergema dan detik-detik kemenangan dirayakan bersama, namun baru-baru ini, timbul sedikit keresahan dalam kalangan penyokong Negeri Sembilan FC apabila larangan membawa masuk botol air dan tumbler dikuatkuasakan ketika aksi menentang Sabah FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Ada yang kecewa, ada yang keliru namun di sebalik larangan itu, pengurusan Negeri Sembilan FC tampil menjelaskan, keputusan tersebut bukanlah untuk menyusahkan penyokong, sebaliknya demi memastikan keselamatan dan kebersihan stadium terus terpelihara.
Menurut kenyataan rasmi, larangan berkenaan selaras dengan Artikel 2.44.3 (iii)(a) Manual Liga Malaysia 2025-2026 yang menyenaraikan objek berisiko tinggi seperti botol plastik, botol kaca dan bekas minuman sebagai barangan terlarang.
Bahkan, Artikel 2.44.3 (iii)(f) turut melarang penjaja menjual minuman berbotol serta membawa masuk ketulan ais, kecuali ais hancur yang dibenarkan.
“Pihak kelab memahami keperluan penyokong untuk membawa minuman sendiri, namun keselamatan dan pematuhan undang-undang liga menjadi keutamaan.
“Pada masa sama, aspek kebersihan turut diberi perhatian agar stadium sentiasa terjaga dan selesa,” jelas kenyataan itu.
Larangan ini, walaupun dilihat kecil, membawa mesej besar bahawa keselamatan ribuan penonton yang hadir lebih penting daripada sebarang keselesaan sementara.
Penyokong mungkin terpaksa berkorban sedikit, tetapi semangat kebersamaan dan rasa hormat kepada peraturan mampu menjadikan suasana perlawanan lebih meriah dan kondusif.
Bagi memudahkan penyokong, pihak kelab juga telah menyediakan gerai makanan dan minuman di dalam stadium.
“Pengurusan Negeri Sembilan FC merakamkan penghargaan atas kerjasama dan sokongan padu yang tidak pernah putus.
“Kami juga memohon maaf sekiranya peraturan ini tidak seperti yang diinginkan. Marilah kita sama-sama memastikan suasana stadium lebih selamat, kondusif dan bersih untuk semua,” tambah kenyataan itu.
Ringkasan AI
- Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi menguatkuasakan larangan membawa masuk botol air dan tumbler ketika Negeri Sembilan FC menentang Sabah FC Larangan ini bertujuan memastikan keselamatan dan kebersihan stadium Larangan selaras dengan Artikel 2.44.3 Manual Liga Malaysia 2025-2026 yang menyenaraikan objek berisiko tinggi sebagai barangan terlarang Kelab menyediakan gerai makanan dan minuman untuk memudahkan penyokong Pengurusan Negeri Sembilan FC menghargai sokongan dan memohon maaf atas sebarang kesulitan akibat peraturan ini