DALAM keadaan sakit, sesetengah daripada kita masih ada yang beranggapan boleh menunda solat sehingga benar-benar sembuh.
Namun itu bukanlah ajaran Islam yang sebenarnya kerana perintah untuk melaksanakan solat wajib lima waktu tidak gugur walaupun sedang dalam keadaan sakit.
Pendakwah Ustazah Asma’ Harun dalam hal ini tampil menegur sebilangan umat Islam yang meringan-ringankan Rukun Islam kedua itu ketika sedang sakit dan dimasukkan ke dalam hospital.
“Masih ramai yang masuk ke hospital mengabaikan solat lima waktu dengan alasan sakit, kotor dipenuhi darah, najis, kaki serta tangan berbalut dan sebagainya.
“Apabila ditanya, jawapan yang sering diberikan ialah akan mengqada solat apabila telah sembuh dan keluar dari hospital,” ujarnya sedih di Facebooknya pada Selasa.
ALLAH SWT turut berfirman: “Dan dirikanlah kamu akan solat dan keluarkanlah zakat. Dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.” (Surah al-Baqarah: 43)
“Menurut Imam Abu Al-Husain As-Subki, ayat ini merupakan dalil mewajibkan solat ke atas semua manusia, orang-orang beriman bahkan kepada kanak-kanak (untuk mendidik) walaupun belum mumayiz, baligh dan berakal.
“Sheikh Mustafa Al-Maraghi di dalam kitabnya Tafsir al-Maraghi juga menyebutkan bahawa ALLAH SWT menjadikan waktu solat itu ada waktu yang khusus untuk ditunaikan.

ISLAM membenarkan umatnya untuk melaksanakan solat dalam keadaan duduk atau baring jika ditimpa sakit. Foto Canva
“Ini bermakna bahawa hukum ALLAH ini adalah kefarduan yang mesti dilaksanakan dalam tempoh waktu yang tertentu dengan segera yang mungkin,” hurainya.
Ujar pendakwah itu, jika tiada tempoh waktu yang khusus, maka manusia pasti tidak akan melakukannya atau melaksanakannya dalam keadaan yang cuai.
Beliau kemudiannya membawakan sabda Nabi Muhammad SAW mengenai ancaman kepada orang yang meninggalkan solat.
Rasulullah SAW bersabda: “Apa yang membezakan seorang Islam dengan orang yang syirik dan kafir adalah meninggalkan solat.” (Hadis Riwayat Muslim)
Menurutnya lagi, dalam kitab Fiqh, ada disebutkan dua golongan orang Islam yang meninggalkan solat iaitu:
1 – Golongan yang meninggalkan solat kerana mengingkari hukum wajibnya atau sengaja mempersendakannya.
Bagi golongan ini, pihak berkuasa wajib menyuruhnya untuk bertaubat dan tidak membiarkannya sehingga dia bertaubat serta kembali mendirikan solat.
Sekiranya dia terus mengingkarinya, dia akan dihukum bunuh sebagai seorang murtad dan mayatnya tidak harus dimandikan, dikafankan dan disolatkan.
Bahkan dia tidak boleh dikebumikan di tanah perkuburan orang Islam kerana dia telah dikategorikan sebagai bukan lagi dalam kalangan orang Islam.

KEWAJIPAN solat fardu tidak gugur walaupun dalam keadaan sakit. Foto Canva
2 – Golongan yang meninggalkan solat kerana malas tetapi masih meyakini hukumnya adalah wajib.
Bagi golongan ini, pihak berkuasa hendaklah memaksanya mengqadakan solat dan bertaubat daripada dosa tersebut.
Sekiranya dia masih ingkar mengqadakannya, dia wajib dihukum bunuh mengikut hukuman yang disyariatkan atas orang Islam yang melakukan maksiat.
Hal ini kerana hukuman asas orang yang meninggalkan fardu adalah wajib diperangi.
Namun selepas dibunuh, dia tetap dianggap Islam dan jenazahnya, pengebumiannya dan pembahagian hartanya mestilah diuruskan menurut tatacara Islam.
OR