Jangan berlengah lagi

Jangan berlengah lagi


BANYAK kerja rumah menanti skuad sepak takraw negara meliputi aspek psikologi dan taktikal permainan menjelang Sukan SEA Thailand 2025 hujung tahun ini.

Perkara tersebut diakui Ketua Jurulatih, Ahmad Jais Baharun yang optimis para pemain mampu meningkatkan keupayaan dan prestasi mereka menjelang temasya dwitahunan itu.

Malah katanya, Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) bekerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN) serta Institut Sukan Negara (ISN) bagi mengatur pelbagai program untuk menambah baik pasukan termasuk aspek sains sukan dan mental.

“Kerjasama erat antara PSM, ISN dan MSN sentiasa ada untuk memperbaiki prestasi dari semasa ke semasa bagi melonjakkan lagi momentum serta pencapaian pemain agar berada pada tahap terbaik,” katanya.

Beliau mengulas mengenai syor penganalisis sukan, Mohd Sadek Mustafa, mengenai empat elemen yang perlu diterapkan skuad sepak takraw negara bagi memecah dominasi musuh tradisi, Thailand.

Empat elemen tersebut meliputi kekuatan fizikal, kawalan pemakanan, penggunaan data lawan dan kemahiran individu yang optimum.

Ahmad Jais turut melihat perbezaan paling ketara antara pasukan negara dan Thailand adalah daripada segi semangat juang.

“Daya tahan mental mereka (pemain Thailand) dan semangat juang yang tinggi untuk menjadi juara. Itu antara perkara yang saya nampak perlu kita perbaiki dan pertingkatkan,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa para pemain negara mampu menandingi kekuatan Thailand pada Kejohanan Piala Raja Thai baru-baru ini, namun mereka cepat hilang tumpuan.

“Lebih-lebih lagi apabila pasukan Thailand mula mengejar mata, menyamakan kedudukan dan seterusnya mendahului.

“Ketika itu, pemain kita terus hilang fokus, hilang idea dan semakin tidak berkeyakinan. Kita seolah-olah rasa tiada upaya untuk membuat kemunculan semula.

“Itu antara elemen yang perlu kita perbaiki untuk pemain mendapatkan semula rentak permainan mereka khususnya ketika bermain di luar Kuala Lumpur,” katanya.

Mengulas mengenai taktikal, Ahmad Jais mahu anak buahnya lebih dinamik dan bervariasi terutama daripada aspek corak permainan kerana ia merupakan elemen penting dalam sepak takraw.

“Contohnya, apabila kita melakukan serangan bertubi-tubi tetapi pasukan lawan dapat mematahkannya.

“Misalnya, servis Syahir (Rosdi). Banyak servis lajunya dapat diangkat oleh pasukan lawan dengan mudah kerana coraknya yang sama. Dia masih menggunakan servis laju secara konsisten.

“Sepatutnya, dia perlukan lebih variasi seperti Haziq (Hairul Nizam). Apabila servis lajunya sudah boleh dibaca, dia kena guna ‘drop’, servis perlahan atau servis potong,” katanya.

Justeru, beliau menuntut para pemain mempelbagaikan gaya permainan di semua posisi sama ada tekong, apit kanan atau apit kiri.

“Semua pemain kena memainkan peranan masing-masing untuk memantapkan lagi setiap regu yang kita gabungkan. Barulah ia akan menjadi satu regu yang mantap. Itulah yang perlu kita perbaiki dari semasa ke semasa,” katanya.

 



Source link

OR

Scroll to Top