Jangan biar anak membesar ketakutan di sekolah

Jangan biar anak membesar ketakutan di sekolah


“ADA luka tidak berdarah, namun peritnya mengalir sepanjang hayat.”

Demikian kata-kata pertama daripada Pensyarah Kanan Pusat Kajian Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr Zaizul Ab Rahman ketika dihubungi Sinar Islam Plus.

Kata-kata beliau itu merujuk kepada beberapa kejadian yang menimpa pelajar baru-baru ini terutamanya melibatkan kes rogol oleh pelajar senior.

Ujarnya, luka yang dialami mangsa yang diragut maruahnya itu berlaku di tempat yang sepatutnya menjadi ruang ilmu.

DR ZAIZUL

“Lebih menyayat hati, kejadian itu pula dirakam dan air mata seorang anak itu dijadikan bahan tontonan ramai.

“Di mana silapnya masyarakat kita apabila sekolah sebagai tempat sepatutnya aman, bertukar menjadi gelanggang trauma?” soalnya.

Maruah wajib dijaga

Ujarnya, dalam Islam, ‘ird atau maruah bukan sekadar kehormatan individu tetapi sebahagian daripada Maqasid Syariah yang merupakan antara perkara utama wajib dipelihara selain agama, nyawa, akal dan keturunan.

“Apabila kehormatan seorang anak dirampas, itu bukan sekadar dosa individu tetapi ia tanda kegagalan sosial yang membiarkan sistem perlindungan runtuh di hadapan mata,” jelasnya.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW menegaskan: “Tidak boleh memudaratkan diri sendiri dan tidak boleh memudaratkan orang lain.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Ujarnya, berdasarkan hadis tersebut, ia membawa maksud yang jelas bahawa sebarang bentuk penderaan, sama ada fizikal mahupun seksual, merupakan kezaliman yang menafikan kemuliaan insan.

“Lebih parah apabila kezaliman itu dirakam dan disebarkan yang menjadikan ia penghinaan berganda kepada mangsa serta keluarganya.

SEDIAKAN ruang dan suasana yang selamat buat anak-anak di sekolah, bukan sebaliknya membiarkan mereka membesar dalam ketakutan. Foto Canva

SEDIAKAN ruang dan suasana yang selamat buat anak-anak di sekolah, bukan sebaliknya membiarkan mereka membesar dalam ketakutan. Foto Canva

“Dalam Islam, membuka aib manusia merupakan satu dosa berat, apatah lagi terhadap anak yang belum matang.

“Para ulama menjelaskan bahawa sesiapa yang menyiarkan kemungkaran, dia telah menormalisasikan maksiat dan mencemar kesucian masyarakat,” jelasnya.

Bagaimanapun katanya, keadilan tidak berakhir di mahkamah semata-mata.

“Keadilan dalam Islam melangkaui hukuman yang meliputi pemulihan dan penyembuhan.

“Mangsa yang diperkosa bukan sekadar kehilangan maruah tetapi turut membawa trauma mendalam iaitu rasa bersalah, takut ruang tertutup, hilang kepercayaan terhadap orang dewasa dan dihantui mimpi ngeri yang berulang,” hurainya.

Sistem sokongan pulih jiwa

Dalam konteks ini, katanya, tanggungjawab umat bukan sekadar mengutuk pelaku tetapi menyediakan sistem sokongan psikospiritual bagi memulihkan jiwa yang luka.

Jelasnya, beliau dan seorang lagi sarjana kontemporari, Profesor Madya Dr Mohd Suhaimi Mohamad dalam kajian, menekankan trauma-informed dalam pendidikan Islam.

“Sekolah bukan sekadar institusi akademik tetapi ruang keselamatan rohani.

“Guru, warden dan pentadbir mesti dilatih memahami kesan trauma dan menggunakan bahasa empati.

“Mangsa tidak wajar disoal dengan nada menghakimi atau disuruh ‘kembali normal’. Dalam Islam, menenangkan hati yang terluka merupakan sedekah, manakala membiarkannya tanpa perhatian ialah kezaliman sosial,” jelasnya.

Beliau berkata, kerajaan wajar segera menggubal Modul Perlindungan Seksual Nasional yang realistik dan wajib dilaksanakan di semua sekolah.

“Setiap sekolah perlu mempunyai safeguarding lead iaitu adanya pegawai terlatih yang menjadi rujukan segera jika berlaku kes gangguan atau eksploitasi.

“Kita juga mesti mendidik anak-anak tentang batas dan izin dalam hubungan sosial,” katanya.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Muslim sejati ialah mereka yang tidak menyakiti orang lain melalui kata-kata mahupun perbuatan fizikal.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Menurutnya, hadis itu mendidik tanggungjawab moral bahawa maruah orang lain ialah amanah.

“Murid yang melihat kemungkaran tidak boleh menjadi jurukamera tetapi mesti menjadi pemberi amaran.

“Menonton dan menyebarkan video aib bukan neutral tetapi ia dosa kedua yang mencederakan semula mangsa dan menambah beban dosa penonton,” katanya.

RAKAN-RAKAN di sekolah sepatutnya saling melindungi, bukan menyakiti. Foto Canva

RAKAN-RAKAN di sekolah sepatutnya saling melindungi, bukan menyakiti. Foto Canva

Ironinya, masyarakat moden sering terperangkap dalam mentaliti ‘bukan urusan aku’.

Al-Quran mengecam sikap pasif itu dalam ayat ke-75 surah an-Nisa’: “Mengapa kamu tidak menolong orang yang dizalimi?”

Ujarnya, ayat itu menuntut tindakan kolektif. Mangsa bukan tanggungjawab keluarganya sahaja tetapi seluruh komuniti.

“Jika masyarakat gagal melindungi seorang anak, maka kita sebagai rakyat yang bertamadun sebenarnya gagal sebagai bangsa berbudi pekerti mulia,” jelasnya.

Cadangan dalam menyediakan suasana selamat di sekolah

1 – Kerajaan wajibkan modul Sexual safeguarding di semua institusi pendidikan dengan latihan guru yang berterusan.

2 – Pihak sekolah perketatkan rondaan waktu luar puncak dengan mewujudkan sistem laporan rahsia dan talian kecemasan yang berfungsi.

3 – Platform digital perlu bekerjasama memadam kandungan aib dengan pantas dan membantu siasatan.

4 – Ibu bapa perlu mempercayai anak, peluk mereka dan dengar tanpa menghakimi.

5 – Rakan sebaya dan masyarakat jadi pelindung, bukan penonton tanpa sebarang tindakan.

Jika hari ini kita diam atas penderitaan seorang pelajar, maka esok tangisan yang sama mungkin datang dari rumah kita sendiri.

Biarlah daripada tragedi ini melahirkan kesedaran baharu bahawa tiada pelajar harus membesar dalam sunyi, ketakutan atau trauma.

Ringkasan AI

  • Luka tanpa darah akibat rogol oleh pelajar senior di ruang ilmu menyakitkan Maruah sebahagian daripada Maqasid Syariah yang penting dipelihara Penderaan, sama ada fizikal mahupun seksual, merupakan kezaliman yang menafikan kemuliaan insan Tanggungjawab umat menyediakan sistem sokongan psikospiritual untuk pemulihan mangsa Kerajaan disarankan menggubal Modul Perlindungan Seksual Nasional untuk diadakan di sekolah



Source link

OR

Scroll to Top