Jangan biarkan KDA FC bersendirian di saat sukar ini – Mohd Daud

Jangan biarkan KDA FC bersendirian di saat sukar ini – Mohd Daud


KEDAH Darul Aman (KDA) FC terus berusaha mencari jalan keluar daripada krisis kewangan dengan menganjurkan All Star Match, satu inisiatif unik bertujuan menarik perhatian penaja luar demi membantu kebangkitan semula kelab.

Pemilik majoriti KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata, perlawanan yang akan berlangsung pada Sabtu ini akan menampilkan legenda bola sepak antarabangsa, Ricardo Quaresma, selain barisan legenda bola sepak Kedah dan Malaysia.

“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk menarik sokongan penaja dari luar.

“Perlawanan ini bukan sekadar hiburan, tetapi juga peluang untuk memperlihatkan semangat dan potensi kelab yang penuh legasi ini,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau turut menyeru penyokong setia untuk memainkan peranan dalam memulihkan kedudukan kewangan kelab.

Menurut Mohd Daud, sokongan penyokong adalah kunci utama dalam proses pemulihan Sang Kenari yang sedang berusaha untuk bangkit kembali.

“Jangan biarkan kami bersendirian di saat sukar ini. Dengan tindakan kolektif, kita boleh membina semula harapan dan mengembalikan kegemilangan bola sepak Kedah,” tegasnya.

Jelas beliau, pembelian tiket All Star Match bukan sahaja menyumbang kepada kelangsungan kelab, malah memberi harapan baharu untuk masa depan. Setiap sumbangan, walau sekecil mana pun, amat bermakna.

Beliau turut menegaskan bahawa kelab amat memerlukan sokongan berterusan, bukan hanya melalui tekanan, tetapi dengan tindakan yang mampu membawa perubahan positif.

Menyentuh situasi semasa, Mohd Daud mengakui bahawa isu tunggakan gaji pemain masih belum menemui jalan penyelesaian yang konkrit.

“Saya amat memahami keresahan penyokong yang mahukan masalah ini diselesaikan segera. Percayalah, saya juga berkongsi keinginan yang sama.

“Namun, usaha untuk mengatasi cabaran kewangan ini memerlukan komitmen berterusan daripada pelbagai pihak,” katanya.

Tambah beliau, semua pihak perlu bersatu dalam usaha mengubah nasib KDA FC dan memastikan kelab ini terus relevan di persada bola sepak tanah air.



Source link

OR

Scroll to Top