Jangan buat spekulasi, SPRM tidak dedah siapa pemimpin politik itu – Sanjeevan

Jangan buat spekulasi, SPRM tidak dedah siapa pemimpin politik itu – Sanjeevan


PETALING JAYA – Sayap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Bersekutu tidak mahu mana-mana pihak membuat spekulasi berikutan pendedahan penemuan rasuah jutaan ringgit membabitkan Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) baru-baru ini.

Semalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan pihaknya telah menggeledah pangsapuri yang didakwa dijadikan safe house seorang ahli politik berpengaruh dan menemui sejumlah mata wang asing berjumlah kira-kira RM5 juta berkaitan konsesi perlombongan pasir.

Menurut Naib Ketua Bersekutu, Datuk Sri Sanjeevan, sehingga hari ini, SPRM tidak pernah menyebut nama pemimpin tersebut dan tidak adil bagi mana-mana pihak untuk terus membuat tuduhan tanpa bukti.

“Jangan cepat sangat tuding jari, tuduh. SPRM belum beri apa-apa secara rasmi lagi, tidak sebut nama. Bukan sahaja Bersekutu, sebaliknya mana-mana pihak pun tidak boleh beri pandangan dalam perkara ini. Harap semua pihak boleh bersikap adil dalam isu ini.

“Kita juga harap SPRM akan siasat dengan telus dengan mengikut lunas undang-undang dan bukannya tuduhan bermotifkan politik,” katanya kepada sidang media pengumuman keputusan pemilihan Bersekutu pada Sabtu lepas.

Dalam pada itu, Ketua Sayap Bersekutu, Dr Chong Fat Full juga memohon supaya semua pihak tidak terburu-buru dalam isu yang sama sebaliknya menunggu pihak berwajib membuat sebarang kenyataan.

“Saya mempunyai info yang sangat sedikit jadi kami bukan pihak yang boleh beri apa-apa pandangan tetapi nasihat saya, satu sahaja. Jangan jadikan isu ini juga sebagai salah satu pendakwaan politik agenda pihak tertentu.

“Ramai dalam kalangan pembangkang yang tidak senada dengan kerajaan berdepan dengan pelbagai tuduhan pendakwaan terpilih, kita harap ini bukan satu lagi episod seperti itu.

“Negara ini ada undang-undang, hormatinya dengan baik dan amanah,” tegasnya.

Selain pendedahan tentang safe house dengan penemuan RM5 juta, SPRM turut menggeledah dua lagi premis, satunya pejabat dan menemui lagi SG$74,000 (RM243,000) dan wang lebih kurang RM78,000. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top