Kuala Lumpur: UMNO hari ini memberi peringatan kepada rakan parti itu dalam Kerajaan Perpaduan, agar tidak sesekali mencabar garis merah yang membabitkan hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera, kesucian agama Islam serta kedaulatan Raja-Raja Melayu.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera diperjuangkan parti itu bukan isu rasisme, sebaliknya ia adalah asas Perlembagaan dan kontrak sosial yang telah membina negara ini.
“UMNO tidak dibentuk untuk menjadi apologetik dalam mempertahankan hak bangsa. Rakan-rakan politik, terutamanya dari ideologi yang berbeza, perlu faham bahawa menyentuh atau mempertikaikan hak keistimewaan ini adalah satu pengisytiharan perang terhadap nurani orang Melayu.
“Kita boleh berkongsi kuasa, tetapi kita tidak akan berkongsi atau menggadaikan maruah bangsa,” katanya dalam ucapan Perasmian Serentak Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), malam ini.
Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Menteri Luar berkata, sebarang cubaan untuk menyamaratakan agama, membawa agenda pluralisme yang melampau atau memperlekehkan institusi Islam atas nama ‘hak asasi’ atau ‘kebebasan bersuara’ juga tidak akan diterima.
“UMNO akan menjadi benteng paling hadapan, yang akan menentang sebarang dakyah yang cuba merungkaikan kedudukan Islam di tanah air ini,” katanya.
Selain itu, Ahli Parlimen Rembau itu berkata, institusi diraja bukan sekadar simbol, sebaliknya ia adalah payung kedaulatan negara.
“Golongan yang cuba bersikap kurang ajar, menyindir atau memanipulasi sentimen untuk merendahkan martabat Raja-Raja Melayu, perlu sedar bahawa mereka sedang bermain dengan api.
“UMNO lahir dari istana dan rakyat, kesetiaan kami kepada Raja tidak berbelah bahagi,” tegasnya.
Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat turut menyatakan parti itu akan bangun, bersuara dan menentang habis-habisan sesiapa sahaja, kawan atau lawan yang cuba merobek tiga teras utama itu.
“Saya memperingatkan rakan-rakan di dalam Kerajaan Perpaduan, jangan sangka kerana kita berada dalam satu Kabinet, UMNO sudah tumpul taringnya.
“Jangan sangka kerana kita mahu kestabilan politik, kita akan pejam mata bila asas negara diganggu gugat. UMNO tidak akan diam membisu,” katanya.
Beliau menegaskan, UMNO bersedia bekerjasama demi rakyat dan negara, namun sekiranya ‘tangan-tangan gatal’ mula menyentuh agama, bangsa dan raja, pihaknya akan menepis perkara itu dengan segala kekuatan yang ada.
“Ingat ini. Politik boleh berubah, gabungan boleh bertukar, tetapi prinsip ini kekal mati bersama UMNO,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






