MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan bahawa Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) tidak boleh terlalu bergantung sepenuhnya kepada peruntukan kerajaan semata-mata bagi menjayakan program pembangunan atlet dan sukan.
Sebaliknya, beliau mengingatkan bahawa pucuk pimpinan persatuan perlu memainkan peranan lebih proaktif untuk mencari penajaan daripada sektor swasta.
Malah, beliau juga menyifatkan cadangan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk menubuhkan Dana Amanah Sukan Negara bagi mengurangkan kebergantungan kepada dana kerajaan sebagai satu langkah positif.
“Ini adalah satu perkara yang sangat baik, tetapi saya mahu pastikan apabila kita bercakap mengenai peruntukan untuk atlet-atlet kita, ia tidak boleh hanya bergantung kepada kerajaan.
“Kita boleh salurkan sedikit sebanyak untuk membantu, tetapi persatuan perlu keluar dan giat mencari penajaan. Penaja tidak akan datang sekiranya pentadbiran persatuan itu lemah dan ada masalah integriti seperti kes rasuah,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa penaja pastinya tidak akan berani menyalurkan sumbangan jika pentadbiran persatuan dilihat bermasalah, tidak stabil serta terpalit dengan isu perbalahan dalaman sehingga melibatkan tindakan undang-undang.
Sebaliknya, tambah beliau, penaja akan datang apabila melihat pentadbiran yang mantap, bersatu suara dan fokus kepada pembangunan atlet.
“Apabila pentadbiran persatuan itu semakin maju dan bersatu, penaja akan datang kerana mereka nak tarikan orang ramai serta suara dan semua orang mahu menyokong sukan yang sihat.
“Saya tak mahu lihat persatuan sukan terlibat dengan pergaduhan dalaman, bawa ke mahkamah, itu semua membuang masa,” tegasnya.
Hannah turut menyentuh mengenai keperluan untuk melantik individu yang berkemahiran dalam mendapatkan penajaan sekiranya ahli jawatankuasa sedia ada tidak mempunyai kepakaran berkenaan.
“Kalau tak tahu cari penajaan, tarik orang yang tahu untuk bantu. Memang tak boleh harap 100 peratus dana kerajaan,” katanya.