Jangan harap Haaland semata-mata

Jangan harap Haaland semata-mata


DUA jaringan Erling Haaland sudah memadai untuk membantu Manchester City menundukkan Everton 2-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Etihad, sekali gus melonjakkan The Citizens itu ke tangga kedua liga.

Penyerang sensasi berusia 25 tahun itu tampil garang pada separuh masa kedua selepas ‘senyap’ di babak pertama apabila menanduk masuk hantaran Nico O’Reilly pada minit ke-58.

Bintang Norway itu kemudian tampil tenang menolak kemas umpanan Savinho lima minit kemudian untuk menggandakan jaringan pasukan tuan rumah.

Kemenangan itu turut menyaksikan Haaland kini mengumpul 11 gol liga dalam lapan perlawanan, malah menjaringkan 13 daripada 17 gol City musim ini bukti ketajamannya masih sukar ditandingi.

Bagaimanapun, pengendali City, Pep Guardiola, mengingatkan pasukannya supaya tidak terlalu bergantung kepada kehebatan penyerang dari negara Scandinavia itu semata-mata.

“Saya kecewa sebab dia tidak jaringkan empat atau lima. Tapi serius, saya gembira dengannya.

“Cuma kami tidak boleh terus bergantung kepada dia sahaja. Kami perlukan pemain lain pemain sayap, pemain tengah menyerang untuk turut sama menyumbang gol.

“Peluang sudah ada, mereka mesti mengambil tanggungjawab dan menamatkan peluang itu. Pada tahap ini, mereka perlu lebih menuntut diri sendiri,” katanya.

Malah Guardiola juga menuntut beberapa watak penting City seperti Savinho, Jeremy Doku dan Tijjani Reijnders perlu lebih tajam di depan gawang.

“Kami bermain untuk menyediakan hantaran dan servis berkualiti buat Erling, tetapi yang lain juga perlu melangkah ke depan. Peluang yang jelas tidak boleh dilepaskan,” tambahnya.

Musim lalu, City agak goyah selepas Haaland terpaksa berehat panjang akibat kecederaan buku lali, manakala pemain penting lain termasuk Rodri turut mengalami masalah kecergasan yang menjejaskan rentak pasukan.

Kali ini, Guardiola mahu memastikan beban menjaringkan gol diagih sama rata agar momentum tidak terganggu jika bintang utamanya direhatkan.

City sempat menghuni puncak liga sebelum Arsenal menewaskan Fulham beberapa jam kemudian, namun Guardiola tetap berpuas hati dengan kedudukan semasa pasukannya.

“Kami akan lena sementara di posisi Liga Juara-Juara malam ini, jadi itu sudah cukup baik,” katanya.

INFO

Manchester City kini kembali menemui rentak kemenangan selepas permulaan musim yang kurang meyakinkan dengan dua kekalahan dalam tiga aksi awal liga dan jelas Haaland sekali lagi menjadi nadi utama kebangkitan gergasi England tersebut.

 

 

Ringkasan AI

  • Erling Haaland menjaringkan dua gol membantu Manchester City menundukkan Everton 2-0
  • Haaland kini mengumpul 11 gol dalam lapan perlawanan Liga Perdana Inggeris
  • Pep Guardiola mengingatkan pasukannya supaya tidak terlalu bergantung kepada Haaland sahaja
  • Guardiola menuntut pemain lain seperti Savinho, Jeremy Doku dan Tijjani Reijnders untuk turut menyumbang gol
  • Manchester City berada di tangga kedua liga selepas kemenangan tersebut



Source link

OR

Scroll to Top