TIDAK salah untuk menjadi kaya, malah Islam juga tidak pernah menghalang umatnya tergolong dalam kelompok itu memandangkan harta halal merupakan satu nikmat yang harus disyukuri.
Namun begitu, perbuatan mempamerkan kekayaan secara berlebihan sehingga menimbulkan rasa riak dan takbur adalah sesuatu yang ditegah dalam agama suci itu.
Pendakwah Ustaz Elyas Ismail menegur sikap segelintir masyarakat pada hari ini yang gemar menunjukkan kemewahan dimiliki kepada khalayak.
USTAZ ELYAS
Jelas beliau, meskipun kekayaan itu datang daripada ALLAH SWT sebagai rezeki, ia bukanlah ‘tiket’ untuk kita menjadikannya sebagai bahan tontonan yang boleh mengundang fitnah atau rasa takbur dalam diri.
“Alhamdulillah, ALLAH SWT kurniakan rezeki dan kekayaan. Semua itu rezeki daripada ALLAH SWT.
“Akan tetapi, untuk nak dipertontonkan atau ditunjuk kepada orang (seperti) beli emas sampai beratus ribu, kemudian beri nafkah kepada isteri sampai ratus ribu juta sekalipun, tak perlulah dipertontonkan kepada khalayak,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikan di laman sosial Facebook miliknya pada Isnin.
Ustaz Elyas menjelaskan, tabiat suka mempamerkan kekayaan bukanlah sesuatu yang baharu, bahkan ALLAH SWT telah menceritakan kisah Qarun dalam al-Quran sebagai peringatan kepada manusia.

TABIAT suka mempamerkan kekayaan bukanlah sesuatu yang baharu, bahkan ALLAH SWT telah menceritakan kisah Qarun dalam al-Quran sebagai peringatan kepada manusia. -Foto: CANVA
Jelas penceramah terkemuka itu, Qarun ialah seorang yang amat kaya pada zamannya, namun dia memperagakan harta dan perhiasan kepada masyarakat dengan penuh kesombongan.
“Qarun keluar di tengah-tengah masyarakatnya dengan perhiasan-perhiasan yang ada pada dirinya, melaram, tunjuk kekayaan dan kemewahan yang ada pada dia.
“Tak tahulah (Qarun tunjuk) kenderaan atau emas di tengah-tengah netizen dalam kalangan masyarakat pada waktu itu,” katanya.
Namun, akibat sifat riaknya itu, ALLAH SWT telah menurunkan azab yang berat ke atas Qarun.
Andai diri ditakdikan memiliki kekayaan, Ustaz Elyas mengingatkan biarlah kita mencontohi Nabi Sulaiman AS yang mempunyai harta melimpah-ruah, namun tetap bersifat tawaduk dan tunduk kepada perintah ALLAH SWT yang mengurniakan nikmat tersebut.

PERBUATAN mempamerkan kekayaan secara berlebihan sehingga menimbulkan rasa riak dan takbur adalah sesuatu yang ditegah dalam agama Islam. -Foto: CANVA
“Ya ALLAH, semoga kami di kalangan manusia dan hamba-MU ya ALLAH dan anak cucu keturunan kami dalam kalangan yang dikurniakan kekayaan, tetapi kekayaan kami ini seperti Nabi Sulaiman AS, kekayaan yang penuh dengan ketakwaan,” titipnya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, kekayaan yang sebenar adalah apabila ia dimanfaatkan untuk kebaikan dan digunakan oleh mereka yang soleh.
Ia sebagaimana dinyatakan dalam sabda Nabi Muhammad SAW: “Sebaik-baik harta adalah harta yang dimiliki oleh hamba yang soleh.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Masakan tidak, harta pada tangan orang soleh tidak akan disalahgunakan, sebaliknya dimanfaatkan untuk menyantuni golongan memerlukan dan membawa manfaat kepada umat.

JAUHKAN diri kita daripada terpedaya dengan budaya menunjuk kekayaan yang semakin berleluasa di media sosial, sebaliknya memelihara sifat rendah diri dan menggunakan harta sebagai ‘alat’ untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT. -Foto: CANVA
“Kalau orang soleh, harta yang ada di tangannya akan digunakan ke arah kesolehan dan kebaikan.
“Harta yang dia ada itu adalah pinjaman daripada ALLAH dan sampai masanya akan dikembalikan pada ALLAH semula,” ungkapnya.
Justeru, elakkan diri kita daripada terpedaya dengan budaya menunjuk kekayaan yang semakin berleluasa di media sosial, sebaliknya memelihara sifat rendah diri dan menggunakan harta sebagai ‘alat’ untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.