Skuad negara sedang melalui fasa revolusi dengan kehadiran ramai pemain warisan. Foto Malaysia NT
PENYOKONG bola sepak negara diminta agar tidak mudah terpedaya dengan suara-suara luar yang cuba mempertikaikan usaha revolusi yang sedang dilakukan skuad Harimau Malaya ketika ini.
Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar berkata, penyokong seharusnya terus memberikan sokongan dan kepercayaan penuh kepada pengurusan skuad kebangsaan yang sedang melakukan pelbagai penambahbaikan demi kemajuan bola sepak negara.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas gesaan segelintir pihak luar termasuk peminat dari negara serantau seperti Indonesia, Vietnam dan Thailand yang mendesak supaya Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menyiasat tindakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membawa masuk lima pemain berdarah warisan baharu.
“Bagi saya, kita jangan melayan dan terperangkap dengan dakwaan orang luar yang mungkin iri hati dan tidak senang dengan revolusi yang sedang berlaku.
“Saya percaya dan yakin, pengurusan Harimau Malaya yang dipimpin Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail melakukan kerja rumah yang cukup mendalam sebelum membawa masuk kelompok pemain warisan itu.
“Semua tahu Tunku Ismail memiliki rangkaian dan hubungan yang cukup erat dengan pemain serta industri bola sepak dari seluruh dunia. Tunku Ismail dan Rob Friend (Ketua Pegawai Eksekutif Harimau Malaya) melakukan tugas revolusi yang cukup sempurna dan kita harus menyokong,” katanya.
Baru-baru ini, FAM memperkenalkan lima pemain berdarah warisan yang baharu menyertai skuad Harimau Malaya iaitu Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Rodrigo Holgado, Jon Irazabal dan Facundo Garces yang memiliki kaitan keturunan dengan Malaysia.
Namun, kehadiran mereka mengundang pelbagai reaksi daripada segelintir peminat bola sepak ASEAN termasuk dakwaan kononnya pemain terbabit tidak mempunyai susur galur yang sah sebagai rakyat Malaysia, apatah lagi mereka berasal dari Amerika Selatan dan Eropah.