lizamridzuan@hmetro.com.my
Musim tengkujuh kembali lagi, hujan lebat tak henti-henti dan adakalanya jalan raya mula ditenggelami air dan banjir kilat juga sering berlaku terutama di kota raya.
Buat penunggang motosikal terutama yang terlibat dalam p-hailing cabaran pasti berganda dalam menjalani urusan seharian.
Sama ada untuk meneruskan perjalanan atau perlu menunggu sehingga hujan reda dan air surut namun motosikal perlu bergerak bagi memastikan urusan penghantaran tidak terjejas.
Bagaimana hendak memastikan tunggangan selamat di dalam banjir tanpa risiko motor rosak atau lebih teruk keselamatan diri terancam.
Vroom kongsikan 10 tip penting untuk menghadapi cabaran ini dengan lebih yakin dan bersedia.
1. Elakkan tunggang kalau air sudah paras bahaya.
Kalau air pada paras lutut atau lebih, jangan ambil risiko kerana motor mudah tenggelam, enjin masuk air dan boleh mengakibatkan rosak. Sebaiknya tunggu air surut.
2. Gunakan gear rendah.
Jaga RPM supaya stabil dan jangan rev terlalu tinggi dan sebaiknya gunakan gear rendah (1 atau 2) untuk pastikan cengkaman dan bunga tayar masih elok dan motor tidak tersekat di air deras.
3. Perhatikan arus air.
Jangan redah air yang ada arus deras dan jika sungai atau longkang melimpah, motor boleh hanyut walaupun nampak kecil saja.
4. Periksa jalan sebelum masuk.
Jika tidak pasti kedalaman mana air, berhenti di tepi dulu dan periksa dan cari laluan yang ada kenderaan lain lalu supaya boleh agak kedalaman air.
5. Jaga sistem brek.
Lepas redah banjir, uji brek perlahan-lahan untuk pastikan ia masih berfungsi dan sekiranya brek basah tidak mencengkam sangat, jadi kena lebih berhati-hati.
6. Balut bahagian sensitif.
Jika terpaksa juga lalu kawasan banjir, guna plastik tebal atau pelapik getah untuk balut bahagian enjin, bateri atau ekzos supaya air tidak masuk.
7. Jaga jarak dengan kenderaan lain.
Air banjir akan membuatkan jalan licin dan pastikan Jarak lebih jauh untuk bagi masa untuk membrek dan elak situasi kecemasan.
8. Bawa alat kecemasan.
Bawa spanar, lampu suluh dan ‘powerbank’ bagi pengecasan telefon penting sekiranya terkandas untuk tempoh lama. Seandainya motor mati di tengah banjir mungkin ada peralatan yang boleh membantu untuk ‘troubleshoot’ bagi meneruskan perjalanan.
9. Periksa motor lepas redah banjir.
Sebaik tiba di destinasi, periksa motor dan sekiranya ada bunyi aneh dan enjin seperti tidak lancar, segera bawa ke bengkel.
10. Keselamatan diri paling utama.
Sekiranya keadaan nampak bahaya, tidak perlu ambil risiko untuk meneruskan perjalanan dan sebaiknya berpatah balik. Motosikal boleh dibaiki namun nyawa tidak boleh diganti.
© New Straits Times Press (M) Bhd