KATA orang, perkahwinan itu semuanya manis-manis belaka dengan dunia penuh keindahan.
Itulah mitos dalam perkahwinan yang sering didengari daripada masyarakat di sekeliling kita.
Masakan tidak, detik-detik awal menjadi pasangan ibarat bulan madu tanpa penghujung, setiap senyuman terasa bahagia dan apa yang dibualkan seolah-oleh ‘janji syurga’.
Namun, semakin lama melayari bahtera perkahwinan, barulah kita sedar bahawa kebahagiaan rumah tangga bukan sekadar kisah indah di media sosial, tetapi amanah besar yang menuntut ilmu, kesabaran dan keimanan.
Pendakwah, Ustazah Asmak Husin menjelaskan, mitos bahawa perkahwinan sentiasa indah tanpa masalah adalah tanggapan yang perlu diperbetulkan dalam kalangan masyarakat.
USTAZAH ASMAK
“Sebelum berkahwin semuanya indah-indah belaka kerana kita belum dibebani dengan amanah dan tanggungjawab.
“Ya, sebelum berkahwin pasangan kita nampak serba sempurna, tapi lepas berkahwin sedikit demi sedikit sikap kekurangannya akan terpancar,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran yang dikongsikan di laman sosial Facebook miliknya pada Khamis.
Menurut penceramah itu, konflik, isu dan perbezaan pendapat adalah perkara biasa dalam rumah tangga kerana lelaki dan wanita tidak akan pernah sama.
Justeru katanya, amat penting bagi setiap pasangan mempersiapkan diri dengan ilmu dan kemahiran yang betul dalam menguruskan komunikasi serta konflik.
“Dalam perkahwinan amat penting kepada ilmu, pengurusan konflik, pengurusan komunikasi dan teknik-teknik rumah tangga agar rumah tangga kekal bahagia hingga ke syurga,” coretnya.
Bukan itu sahaja, ada juga yang menganggap diri mereka bernasib malang apabila mendapat pasangan yang tidak sempurna khususnya suami yang kurang menunaikan tanggungjawab agama.

BUKAN perkahwinan sahaja yang mempunyai ladang pahala, ibu bapa juga menjadi ladang pahala yang sangat berharga bagi mereka yang belum mendirikan rumah tangga. -Gambar hiasan/ Foto: 123RF
Memperbetulkan salah faham itu, Ustazah Asmak menjelaskan, tanggapan sedemikian tidak tepat dan bertentangan dengan ajaran Islam.
Beliau menegaskan, semua itu bukanlah nasib malang, sebaliknya ujian yang datang bersama peluang besar untuk menggandakan pahala dan memperkukuh keimanan.
“Ini adalah satu mitos yang berlegar dalam masyarakat bahawa mereka bernasib malang sekiranya berkahwin dengan lelaki yang tidak solat, tidak kuat beribadah dan sebagainya.
“Itu bukan nasib malang tetapi itu adalah ujian,” tegasnya.
Beliau menambah, Al-Quran sendiri telah menunjukkan model terbaik melalui kisah isteri Firaun, Asiah, yang tetap teguh imannya meskipun bersuamikan lelaki paling zalim di muka bumi.
“Suami yang tidak baik bukan penghalang untuk kita masuk syurga. ALLAH sudah lama berikan model kepada wanita sebegini di dalam al-Quran.
“Bagaimana Asiah seorang wanita yang kuat imannya, tetapi bersuamikan lelaki paling zalim dan dilaknat ALLAH iaitu Firaun. Itu tidak dijadikan alasan Asiah untuk terus bersedih dan kecewa, sebaliknya keimanan dan ketakwaan Asiah semakin kuat,” jelas beliau.
Kepada wanita yang diuji dengan pasangan sebegitu, jelas Ustazah Asmak, kunci utamanya adalah kesabaran dan kebergantungan kepada ALLAH SWT.
”Semakin kita kuat bersabar dan yakin dengan ALLAH, percayalah pahala besar menanti kita.
“Bagi yang belum berkahwin, pilihlah dan berhati-hati dalam memilih jodoh. Jangan pernah berhenti berdoa untuk memohon jodoh yang baik,” titipnya.

BAGI mereka yang diuji dengan pasangan hidup, kunci utamanya adalah kesabaran dan kebergantungan kepada ALLAH SWT. -Gambar hiasan/ Foto: 123RF
Selain itu, Ustazah Asmak turut menangkis persepsi bahawa seseorang yang belum bertemu jodoh ialah insan yang kurang bernasib baik atau kehilangan peluang pahala besar seperti mereka yang berumah tangga.
Ini kerana, katanya, setiap orang memiliki jalan rezeki dan ladang pahala tersendiri.
“Tidak semestinya perkahwinan sahaja mempunyai ladang pahala.
“Ibu bapa juga merupakan ladang pahala yang sangat berharga. ALLAH belum rezekikan kamu berkahwin, mungkin khidmat kamu kepada ibu bapa belum cukup besar,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan agar golongan bujang tidak terus bersedih, sebaliknya menumpukan tenaga kepada berbakti kepada ibu bapa dan memperbaiki hubungan kekeluargaan.
“Daripada bersedih, (lebih) baik fokus betul-betul berkhidmat kepada ibu bapa, baiki dan eratkan hubungan adik-beradik sebelum mereka meninggalkan kita.
“Tiada kasih sayang sesuci kasih ayah dan ibu,” jelasnya.
Pada masa sama, Ustazah Asmak menegaskan bahawa usaha mencari jodoh tidak seharusnya berhenti kerana setiap perkara sudah diatur dengan penuh hikmah oleh ALLAH SWT.
“Soal jodoh jangan berhenti berusaha untuk mencari dan perbaiki diri. Insya-ALLAH masanya akan tiba,” katanya.






