PARA pemain bawah 23 tahun (B-23) tidak boleh dibiarkan bagai anak ayam kehilangan ibu selepas Piala MFL yang baru berusia dua tahun dimansuhkan pada musim depan.
Karier mereka perlu diselamatkan dan menjadi tanggungjawab Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta Liga Bolasepak Malaysia (MFL) melakukan langkah drastik bagi memastikan bakat mereka tidak mati begitu sahaja.
Penganalisis sukan tanah air, Zainal Abidin Rawop mengakui ketiadaan kejohanan itu mampu meringankan beban kewangan kelab, namun hala tuju kelompok pemain muda ini masih kabur.
Malah beliau berkata, pemansuhan tersebut juga dibuat secara tergesa-gesa tanpa pelan alternatif yang jelas bagi memastikan kerjaya mereka terjamin termasuk mendapat tempat dalam skuad senior.
“Keputusan terlalu drastik, walaupun membebankan tetapi kelab dalam perjalanan menyesuaikan diri dengan pertandingan MFL.
“Namun apabila dimansuhkan struktur kelab perlu dirombak semula,” katanya kepada Sukan Sinar.
Kurang percaya
Tambah Zainal, pemain B-23 sebenarnya sudah tidak dikira sebagai junior dan sepatutnya sudah berada dalam skuad senior.
Namun, kebanyakan kelab di Malaysia masih tidak bersedia untuk memberi mereka peluang beraksi kerana dianggap belum matang.
MFL pada Isnin mengesahkan Piala MFL tidak akan dipertandingkan pada musim 2025/26 apabila rakan kongsi liga sebulat suara bersetuju untuk memansuhkan saingan B-23 itu.
Susulan itu, Zainal Abidin berharap FAM kembali ke meja perbincangan bersama pemegang taruh termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Persatuan Bolasepak Negeri (FA) dan Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM).
“Dapatkan idea daripada mereka. Kena bantu (B-23), andai pasukan senior dapat bantuan, bagaimana pula dengan skuad yang di bawah ini, apa yang mereka dapat?
“Jika struktur liga kita tersusun, Insya-ALLAH penaja akan datang. Apa yang berlaku sebelum ini, tiada publisiti dan liputan media. Peminat tidak tahu apa yang berlaku, sedar-sedar kejohanan ini dimansuhkan,” katanya.
Cari alternatif
Sehubungan itu, Zainal Abidin mengesyorkan agar FAM mengambil tanggungjawab untuk menganjurkan kejohanan buat pemain B-23, sama ada melalui format karnival atau mengikut zon dengan peringkat suku akhir hingga final dijalankan secara timbal balik.
Selain itu, Zainal Abidin mencadangkan agar MFL menetapkan syarat bahawa setiap kelab Liga Super wajib menurunkan satu atau dua pemain B-23 untuk memberi mereka peluang beraksi di peringkat tertinggi dan memperoleh minit permainan.
“Pengurusan baharu FAM perlu menyelamatkan kelompok pemain ini untuk bantu Nafuzi Zain (jurulatih B-23) kerana jika berharap untuk mereka diserap ke dalam skuad senior kelab adalah sukar,” katanya.
Sebelum ini, MFL menjelaskan keputusan untuk memansuhkan saingan berkenaan perlu diambil dalam usaha untuk mengukuhkan dan menstabilkan semula kedudukan kewangan kelab.
Selepas dua musim pelaksanaan saingan itu, MFL mendapati kelab menanggung perbelanjaan tinggi dari segi pembayaran gaji pemain dan operasi logistik sehingga mencecah RM28 juta yang ditanggung keseluruhan kelab Liga Super.
Pemansuhan itu dilihat mampu menyelamatkan ‘kantung’ pasukan, namun muncul juga persoalan mengenai apa nasib pemain dari skuad Piala MFL selepas ini dalam usaha untuk meneruskan kerjaya mereka.