‘Jangan putus asa’- Tomok imbau gambar ujibakat 16 tahun lalu

‘Jangan putus asa’- Tomok imbau gambar ujibakat 16 tahun lalu


PETALING JAYA: Pernah bergelar juara program pencarian bakat One In A Million (OIAM) 16 tahun lalu, penyanyi, Tomok menasihati orang ramai agar tidak putus asa dalam mengejar impian.

Menerusi hantaran di media sosial, Tomok atau Shah Indrawan bin Ismail, 40, berkongsi gambar memakai baju-T hitam dengan nombor giliran A0010 selepas berjaya membolosi peringkat saringan OIAM pada 2008.

“Memandangkan program OIAM yang terbaharu sudah bermula. Saya kongsikan semula gambar semasa pergi uji bakat musim ketiga.

“Selebihnya adalah sejarah. Jangan pernah putus asa dan semoga berjaya buat semua yang menyertai musim ini,” tulisnya di ruangan kapsyen.

Terdahulu pada 2 Mei 2009, Tomok telah dinobatkan sebagai juara OIAM musim ketiga mengikuti jejak langkah pemenang sebelum ini iaitu Suki Low musim pertama (2006) dan Ayu Damit untuk musim kedua (2007).

Tomok yang berusia 24 tahun ketika itu mempertaruhkan nyanyiannya dengan lagu Hanya Kau Yang Mampu dan Rinduku Terhenti semasa di pentas akhir pertandingan yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam.

Hantaran Tomok bagaimanapun menerima respons warganet yang rata-rata memuji usaha artis selain turut berkongsi momen menonton rancangan itu 16 tahun lalu.

“Waktu itu satu undian berharga 50 sen. Rasa mahal sangat tapi tetap undi,” tulis satu komen.

“Tengok rambut Tomok, memang zaman itu semua pakat gaya rambut itu,” kata satu peminat.

“Inilah titik permulaan Tomok, semoga rezeki sampai hari ini terus dimudahkan dan berjuang dalam industri ini,” kata peminat yang lain. -UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top