September 8, 2024

Jangan salahkan Hamidin, terus sokong Harimau Malaya -PFA

Jangan salahkan Hamidin, terus sokong Harimau Malaya -PFA


KUALA LUMPUR- Tidak wajar menyalahkan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berhubung isu pengunduran jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan- gon minggu lalu.

Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Zamri Ibrahim berkata, peletakan jawatan seseorang jurulatih adalah satu perkara biasa dalam era bola sepak professional.

Malah katanya, melihat pada pengumuman dibuat oleh Pan-gon, jurulatih itu jelas meletak jawatan atas keputusan peribadi dan bukan akibat tekanan dari mana-mana pihak.

“Oleh yang demikian, PFA berpendapat persetujuan bersama telah pun dicapai oleh FAM dan Pan-gon, merujuk kepada tiada tuntutan pampasan antara kedua pihak.

“Sepertimana sedia maklum, jurulatih tersebut masih berbaki kontraknya sehingga Disember 2025,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Zamri menyeru semua pihak supaya terus memberikan sokongan padu kepada skuad Harimau Malaya meskipun bukan lagi di bawah kendalian Pan-gon.

Ia terutamanya ketika pasukan kebangsaan beraksi di Pestabola Merdeka 2024 pada September ini di bawah kendalian pemangku ketua jurulatih kebangsaan, Pau Marti Vicente.

“Saya sebagai Presiden PFA mengajak semua peminat dan penyokong bola sepak Malaysia untuk terus memberi sokongan terhadap usaha kepimpinan FAM memacu bola sepak negara.

“Sebagai rekod, usaha dan kerja keras yang dilakukan oleh Datuk Hamidin selaku Presiden FAM dan barisan exconya selama beberapa tahun ini dalam memastikan ranking bola sepak negara melonjak naik seharusnya dipuji dan diakui kejayaannya.

“Sekali lagi saya menyeru agar semua pihak bersatu dalam memastikan bola sepak kita kembali menggegar persada antarabangsa,”katanya lagi.- MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top