Hector Bidoglio dilambung ke udara selepas JDT meraih gelaran Piala Malaysia baru-baru ini.
LEGENDA bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail menegaskan bahawa Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak sepatutnya dijadikan kambing hitam atas kemerosotan saingan Liga Malaysia (Liga-M) ketika ini.
Sebaliknya, beliau berpandangan kelab-kelab lain perlu menilai kelemahan sendiri dan merangka pelan pembangunan yang lebih mampan untuk kekal bersaing secara sihat dan mengelakkan masalah kewangan.
“Tidak adil untuk menyalahkan JDT. Mustahil juga kita mahu mereka ‘turunkan standard’ hanya kerana mereka terlalu berjaya dari semua sudut.
“Sebaliknya, kelab lain perlu tepuk dada dan tanya diri – apakah kelemahan yang perlu diperbaiki?
“Mengapa berdepan masalah kewangan? Apa pelan jangka panjang yang telah dirancang?” katanya kepada Sukan Sinar.
Menurut Jamal, kegagalan pasukan lain dalam menguruskan kewangan secara berhemah turut menjadi punca utama ketidakseimbangan dalam saingan liga.
Beliau menyelar pendekatan sesetengah kelab yang terlalu ghairah untuk mencabar JDT tanpa mengukur kemampuan sebenar.
“Ada yang sanggup ambil sembilan pemain import walaupun tahu kewangan mereka tidak kukuh, hanya semata-mata mahu bersaing dengan JDT. Itu tindakan tidak bertanggungjawab,” katanya.
Jamal turut menegaskan bahawa kejayaan JDT bukan dibina dalam tempoh singkat, tetapi hasil perancangan rapi yang merangkumi semua aspek termasuk fasiliti asas seperti padang latihan yang masih belum dimiliki sesetengah pasukan lain.
“Nak jadi seperti JDT, perlu bermula dengan langkah kecil dan strategi yang tersusun. Bukan dengan perbelanjaan melulu,” katanya.