Jangan selesa dengan beregu, perseorangan lelaki perlu digembleng segera

Jangan selesa dengan beregu, perseorangan lelaki perlu digembleng segera


Jun Hao (kiri) tampil sebagai perseorangan lelaki utama di Piala Sudirman 2025.

SKUAD badminton negara bakal berdepan laluan sukar menjelang Piala Thomas terutama dalam acara perseorangan lelaki yang kini dilihat belum mencapai tahap sebenar.

Bekas jaguh dunia, Roslin Hashim, menyuarakan kebimbangan itu selepas kempen Piala Sudirman 2025 yang menyaksikan Malaysia terkandas di suku akhir dengan Justin Hoh dan Leong Jun Hao gagal menyerlah di Xiamen, China.

“Terus terang, kita masih ketandusan pemain perseorangan yang betul-betul padu. Kalau lihat prestasi di Piala Sudirman, sukar nak kata kita mampu garang di Piala Thomas nanti.

“Malah, pemain ketiga dari negara seperti Indonesia, Hong Kong, Taiwan dan India kini makin meningkat. Itu belum masuk China yang memang sentiasa dominan,” katanya kepada Sukan Sinar.

Skuad negara mengalas cabaran di Xiamen tanpa kelibat jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia dengan sandaran kepada dua pemain muda – Jun Hao dan Justin dalam acara perseorangan lelaki.

Sebagai rekod, cabaran skuad negara pada saingan Piala Thomas 2024 di Chengdu, China terhenti di separuh akhir selepas tewas 1-3 kepada pasukan tuan rumah.

Bagaimanapun, Roslin mengakui sektor beregu kekal sebagai kekuatan skuad negara, dengan trio gandingan utama — Goh Sze Fei-Nur Izzuddin, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun mampu menjadi sandaran.

“Tapi kita tak boleh selesa. Apa-apa boleh jadi, kecederaan misalnya. Piala Thomas ini bukan kerja setahun dua, ia perlukan pelan lima tahun yang konsisten. Negara pesaing dah mula asah pemain muda untuk pentas besar seperti ini,” tegasnya.

INFO

Horsens, Denmark akan menjadi tuan rumah Piala Thomas dan Uber 2026 untuk kali kedua kejohanan berpasukan lelaki dan wanita itu selepas edisi Aarhus 2021.



Source link

OR

Scroll to Top