Jangan terlalu selesa kejayaan dicapai Malaysia, waspada pertahan keamanan negara – PM

Jangan terlalu selesa kejayaan dicapai Malaysia, waspada pertahan keamanan negara – PM


bhnews@bh.com.my

Putrajaya: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak supaya tidak terlalu selesa dengan kejayaan dan kemajuan yang dicapai Malaysia, sebaliknya sentiasa berwaspada dalam mempertahankan keamanan serta keharmonian negara.

Perdana Menteri menegaskan, walaupun Malaysia kini menjadi tumpuan dunia dari segi pelaburan dan pelancongan, kejayaan itu perlu diiringi dengan kesedaran untuk terus memperkukuh kestabilan politik, tatakelola yang baik dan semangat perpaduan nasional.

Tegasnya, tidak ada negara yang dapat bertahan apabila mula dirasuk bibit kealpaan dan kecuaian.

“Negara yang relatif kecil seperti Malaysia apabila meningkat maju, tentu menjadi perhatian. Positifnya Malaysia menjadi perhatian untuk pelancongan, pelaburan.

“Kewaspadaannya kerana apakah kita dapat bertahan dan apakah mungkin bukan sahaja bertahan dari segi ketahanan nasional, domestik tetapi mengenai iri hati dan juga permusuhan luar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.

Berita lanjut menyusul

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Anwar berkata, keutuhan negara perlu dijaga bukan sekadar melalui kekuatan pertahanan, tetapi juga kesedaran rakyat terhadap pentingnya keamanan dan perpaduan.

Beliau turut menegaskan bahawa kekuasaan dan jawatan hanyalah amanah sementara yang perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan integriti.

“Perdana Menteri,Ketua Setiausaha Negara, ketua jabatan semuanya sementara, tidak ada yang kekal.

“Dalam sejarah kita, lebih-lebih lagi ada Perdana Menteri tak cukup setahun, ada Perdana Menteri dua tahun, ada Perdana Menteri tiga tahun dan ada Perdana Menteri 22 tahun.

“Tapi semua itu peringatan kepada kita bahawa tidak ada yang kekal. Sebab itu, kena ingat dan insaf,” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan supaya semua pihak tidak mengambil dengan mudah keamanan dan keharmonian yang dikecapi Malaysia.

“Cuba kita renung negara di Asia, di Afrika yang suku kaumnya, walaupun nampak relatif aman tetapi ‘volatile’ (tidak stabil), jadi sebab itu saya kata jangan buat andaian mudah, jaga keharmonian ini.

“Renung dan lihat negara Asia yang ada percaturan, pergaduhan antara mazhab, kaum, ideologi yang panas dan menyebabkan gambaran negara itu sebagai dalam keadaan yang tidak stabil,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top