Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menggesa kerajaan mempertimbangkan untuk memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebagai sebahagian daripada usaha melaksanakan pembaharuan sistem percukaian negara.
“Janganlah segan silu…”
Memetik laporan daripada Malaysiakini, Ketua Penerangan Parti Wawasan Nasional (Wawasan) itu, kerajaan tidak sepatutnya berasa segan untuk menghidupkan semula GST meskipun cukai berkenaan pernah menjadi sasaran kritikan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.
“Janganlah segan silu nak perkenalkan semula GST walaupun dulu ada (ahli politik) yang menyanyi lagu (menyindir) ABCD-GST,” katanya.

Boleh guna pendekatan baharu seperti nama berbeza
Wan Ahmad Fayhsal turut berpendapat pelaksanaan semula GST boleh dilakukan dengan pendekatan baharu termasuk menggunakan nama yang berbeza serta kadar cukai yang lebih rendah.
“Apa salahnya guna nama Cukai Madani (misalnya), tapi kita letaklah dengan kadar yang lebih rendah, seperti 3 peratus,” katanya.

Perkara tersebut dinyatakan beliau sewaktu mengulas penjelasan Menteri Ekonomi, Akmal Nasir berhubung krisis bekalan global susulan konflik Amerika Syarikat (AS) dan Iran di Asia Barat.
Untuk rekod, GST merupakan antara isu utama yang digunakan PH ketika berkempen pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 sehingga cukai itu dimansuhkan selepas mereka mengambil alih pentadbiran kerajaan.
Ketika itu, BERSATU yang turut dianggotai Wan Ahmad Fayhsal juga lantang mengkritik pelaksanaan GST.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal berpandangan pendekatan subsidi yang dilaksanakan kerajaan ketika ini bukan lagi penyelesaian jangka panjang yang mampan.
Sebaliknya, beliau berkata negara memerlukan pembaharuan cukai yang lebih menyeluruh bagi menghadapi cabaran ekonomi semasa.
Dalam masa sama, beliau turut menggesa kerajaan melibatkan wakil pembangkang dalam merangka dasar dan kerangka penyelesaian ekonomi supaya pendekatan yang diambil lebih komprehensif serta memberi manfaat kepada semua pihak.
Sumber: Malaysiakini






