sukan@hmetro.com.my
Seremban: Pemain import Alex Agyarkwa bertekad untuk membalas kepercayaan diberikan oleh pihak pengurusan Negeri Sembilan FC (NSFC) selepas memberinya laluan untuk meneruskan aksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2025/2026 meskipun berstatus pemain pinjaman.
Agyarkwa yang berasal dari Ghana beraksi bersama Selangor FC musim lalu dan kini bersama Negeri Sembilan sebagai pemain pinjaman sekali gus kembali bekerjasama dengan ketua jurulatih, Nidzam Jamil, yang pernah membimbing pasukan Red Giants sebelum ini.
Pemain berusia 25 tahun itu melahirkan rasa bangga dan teruja kerana dapat menyertai sebuah pasukan yang dianggotai pemain terbaik selain dibimbing jurulatih berpengalaman dan memiliki reputasi tersendiri di pentas liga tempatan.
“Saya rasa bangga kerana dapat meneruskan karier di pentas Liga Malaysia bersama dengan sebuah pasukan yang dibimbing Nidzam Jamil, dan berazam untuk memberikan persembahan terbaik sepanjang musim 2025/2026.
“Kepercayaan yang diberikan kelab ini amat bermakna bagi diri saya dan saya akan berusaha sebaik mungkin untuk membalasnya.
“Fokus utama adalah untuk membantu menjulang kembali nama pasukan ini selepas membantu Selangor musim lalu,” kata Agyarkwa ketika ditemui.
Pengalaman Agyarkwa di bawah bimbingan Nidzam sebelum ini dijangka akan memudahkan dia menterjemahkan perancangan jurulatih itu dengan baik tatkala bakal diberikan amanah menggalas tugas di posisi tengah skuad Hobin Jang Hobin.
Dia melahirkan keyakinan dengan prestasi dan kekuatan Negeri Sembilan kali ini berbanding musim lalu apabila dianggotai ramai pemain terbaik termasuk tenaga muda yang ada pengalaman serta keazaman tinggi untuk membawa pasukan mencipta kejayaan.
“Menerusi kekuatan yang ada ini, saya menjangkakan Negeri Sembilan berupaya untuk memberikan cabaran yang lebih bermakna sama ada dalam Liga Super, Piala FA dan juga Piala Malaysia.
“Pastinya, saya dan rakan-rakan akan berjuang membantu meletakkan pasukan ini di posisi terbaik dalam Liga Super sekurang-kurangnya berada dalam kelompok kelima teratas,” katanya.
Untuk rekod, Agyarkwa menyertai Selangor FC bermula pada tahun 2021 dan merekodkan 64 penampilan selain melakukan 11 bantuan jaringan meskipun pada musim lalu prestasinya sedikit terjejas selepas bergelut dengan kecederaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd