July 27, 2024

Janji balas mandat rakyat dengan kerap turun padang – Sock Tao

Janji balas mandat rakyat dengan kerap turun padang – Sock Tao


HULU SELANGOR – Masalah isu tempatan yang belum selesai akan ditangani sebaik mungkin selepas mendapat mandat rakyat.

Demikian komitmen disuarakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu, Pang Sock Tao yang menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu selepas diumumkan secara rasmi malam tadi.

Beliau berjanji untuk menangani isu tersebut dengan berazam mahu kerap turun padang dalam menangani segala aduan secepat mungkin.

“Saya sedar peratusan mengundi ada penurunan tapi paling penting adalah bekerja untuk rakyat. Saya akan cari penyelesaian dengan pasukan, pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri bagi pastikan segala isu berbangkit selesai.

“Sepanjang kempen saya dapat aduan beberapa isu seperti lampu jalan yang tidak berfungsi, longkang tersumbat dan sambungan internet lemah. Ada isu boleh selesai segera dan ada yang ambil masa tapi kita akan usaha,” katanya ketika ditemui media di sini hari ini.

Sock Tao berjanji akan memberi perkhidmatan yang terbaik kepada semua penduduk setempat tanpa mengira agama, kaum serta fahaman politik.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera daripada Kerajaan Perpaduan khususnya Barisan Nasional yang setia bersama dalam setiap siri kempen.

“Ini kemenangan buat penduduk dan pengundi di Kuala Kubu Bharu dan saya ucapkan terima kasih kepada mendiang Lee Kee Hiong yang begitu berdedikasi berkhidmat kepada penduduk.

“Kemenangan ini tidak lebih bermakna dengan sokongan penuh daripada suami saya dan ahli keluarga yang tersayang,” ujarnya.

Sock Tao yang memperoleh 14,000 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut yang meraih 10,131 undi, calon Bebas, Nyau Ke Xin dengan 188 undi dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hafizah Zainuddin sebanyak 152 undi. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top