Wajah baharu Pusat Latihan Carrington. Foto FB Manchester United
MANCHESTER United membuka tirai kepada kemudahan baharu bernilai £50 juta (RM285 juta) di Pusat Latihan Carrington, seminggu sebelum aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2025/26.
Bangunan pasukan utama lelaki itu melalui proses pengubahsuaian setahun, hasil rekaan arkitek tersohor kelahiran Manchester, Norman Foster bersama firma Foster + Partners. Projek ini dibiayai sebahagiannya melalui suntikan modal £300 juta (RM1.7 bilion) oleh pemilik bersama kelab, Sir Jim Ratcliffe pada 2024.
Antara kemudahan moden yang disediakan termasuk tandas pintar mengukur tahap hidrasi pemain, bilik pengapungan kering, treadmill bawah air, gelanggang padel, simulator Formula 1, salun gunting rambut, ruang pemulihan lengkap dengan mesin MRI, imbasan CT, pengimbas DEXA, bilik tidur pod, bilik haba dan altitud, serta bilik terapi oksigen dan krioterapi.
Kemudahan ini direka dengan inspirasi daripada pusat latihan kelab Liga Bolasepak Nasional (NFL) Amerika Syarikat (AS), Los Angeles Rams dan kem England di St. George’s Park, selain idea daripada pemain utama seperti Bruno Fernandes dan Harry Maguire.
“Ini tahap yang kelab ini layak capai. Kini, terpulang kepada kami di atas padang,” kata pertahanan United, Diogo Dalot.
Majlis pembukaan disempurnakan Ratcliffe bersama pengendali Ruben Amorim, bekas pengurus Sir Alex Ferguson, Ketua Pegawai Eksekutif Omar Berrada dan barisan pemain.
Selain menjadi pusat latihan, Carrington baharu ini akan menjadi ‘jantung kelab’ dengan membawa lebih ramai kakitangan dari Old Trafford untuk bekerja di bawah satu bumbung.
Pengubahsuaian ini menyusuli pembinaan kemudahan £10 juta (RM57 juta) bagi skuad wanita dan akademi lelaki pada 2024.
United akan menentang Arsenal pada aksi pembukaan liga pada 17 Ogos.