ALOR SETAR: Jasad dua pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis yang meninggal dunia akibat lemas ketika berkayak dituntut ahli keluarga masing-masing untuk dibawa pulang ke Sarawak.
Mendiang Joey Ling Lin Siang, 20, dan mendiang Christopher Ling Jia Siang, 21, dituntut pada pukul 11.15 malam tadi dan dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) sebelum diterbangkan ke Sarawak.
Penerbangan membawa jasad Joey Ling akan berlepas kira-kira pukul 6 pagi ini ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum penerbangan seterusnya ke Sibu yang dijadualkan pada pukul 3.30 petang.
Sementara, jasad Christopher Ling akan diterbangkan terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching kira-kira pukul 6 pagi ini sebelum urusan seterusnya dilakukan.
Terdahulu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek turut hadir ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk memberikan penghormatan terakhir, selain bertemu ahli keluarga mangsa.
Sementara itu, lebih 100 pelajar IPG Kampus Perlis hadir memberi penghormatan terakhir kepada jasad dua rakan mereka di Jabatan Forensik HSB.
Rata-rata mereka kelihatan sugul dan menangis selepas melihat jasad mendiang Christopher Ling dan Joey Ling dibawa menaiki sebuah kenderaan jenazah yang diiringi polis.
Akhbar sebelum ini melaporkan aktiviti berkayak sekumpulan pelajar IPG bertukar tragedi apabila dua daripada mereka ditemukan lemas di Pantai Merdeka, Sungai Petani.
Dalam kejadian itu, dua pelajar terbabit dikatakan hilang selepas dipukul ombak sebelum mayat mereka ditemukan tersangkut pada pukat. –UTUSAN






