nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ibu kepada pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22, bertekad untuk menyaksikan proses bedah siasat kedua anaknya yang dijalankan esok.
Peguam mewakili keluarga Syamsul Haris, Datuk Naran Singh Ara Singh berkata, proses mengenal pasti jasad yang digali pagi tadi sudah dijalankan petang ini.
“Ibunya, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, sudah mengenal pasti mayat berkenaan sebagai anaknya.
“Ummu Haiman juga diberi pilihan sama ada mahu hadir untuk proses bedah siasat esok. Namun, dia bertekad dengan pendiriannya untuk melihat keseluruhan proses bedah siasat itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perbincangan mengenai proses bedah siasat Syamsul Haris di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini, hari ini.
Berdasarkan pemerhatian semasa proses mengenal pasti mayat yang dijalankan petang tadi, beliau berkata, jasad dalam keadaan utuh.
“Dari segi jangka masa proses bedah siasat yang dijalankan esok, kami tidak pasti ia akan mengambil masa berapa lama.
“Namun, kami yakin ia berjaya diselesaikan esok memandangkan terdapat tiga pakar daripada IPFN HKL terbabit dalam proses itu,” katanya.
Terdahulu, beliau dan Ummu Haiman hadir di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Hulu di Semenyih, Selangor, pagi tadi, bagi menyaksikan proses penggalian semula kubur penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu.
Pada 19 Ogos lalu, Ummu Haiman mengemukakan permohonan menggali semula kubur bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan serta mencadangkan untuk memulakan prosiding inkues bagi menyiasat kematian anaknya.
Susulan itu, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan kubur Syamsul Haris untuk digali semula pada Selasa lalu.
Syamsul Haris dilaporkan meninggal dunia pada 28 Julai lalu di Hospital Kota Tinggi, Johor, ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Ulu Tiram, Johor dan dikebumikan pada 29 Julai di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Hulu.
© New Straits Times Press (M) Bhd






