Jasad penuntut IPG Kampus Perlis tiba di Sarawak

Jasad penuntut IPG Kampus Perlis tiba di Sarawak


mdroji@bh.com.my

Kuching: Suasana pilu menyelubungi pusat kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) apabila ahli keluarga, rakan-rakan serta warga pendidik berkumpul bagi menunggu ketibaan jasad salah seorang penuntut Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPG) Kampus Perlis yang lemas Sabtu lalu.

Jasad mendiang Christopher Ling Jia Siang, 21, tiba di LTAK pada jam 4.30 petang dan terus dibawa ke pusat pengurusan pengebumian di Batu Lima, di sini sebelum dibakar Khamis ini.

Turut menyambut ketibaan jasad mendiang, Timbalan Rektor di Pusat Hal Ehwal Pelajar (PHEP), Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Shamsul Saniron dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Omar Mahli sérta sekumpulan penuntut IPG Kampus Batu Lintang.

Shamsul berkata, pengurusan membawa balik jasad dua mendiang dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai pihak bermula dari peringkat Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), khususnya IPG Kampus Perlis.

Beliau berkata, pihaknya turut menerima sokongan padu kepimpinan tertinggi Kementerian Pendidikan Malaysia yang hadir memberikan sokongan moral kepada keluarga mangsa.

“Selain pengurusan di peringkat kampus, sokongan turut diberikan oleh Menteri Pendidikan dan Timbalan Menteri Pendidikan yang turun padang bersama-sama bagi menyantuni keluarga mangsa.

“Usaha ini mencerminkan komitmen semua pihak dalam memastikan kebajikan pelajar sentiasa diberi keutamaan, terutama dalam situasi yang membabitkan insiden tidak diingini,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak termasuk kepimpinan negeri Sarawak, khususnya Premier, Tan Sri Abang Johari Abang Openg yang bersama-sama memberi sokongan moral kepada keluarga mangsa.

Mengulas pengurusan jasad seorang lagi mangsa yang dibawa balik ke Sibu, Shamsul berkata, jasad Joey Ling Lin Siang, 20, dijangka tiba di Lapangan Terbang Sibu kira-kira 5.30 petang ini.

“Setibanya di sana, mendiang akan disambut oleh wakil IPG Kampus Rajang bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sibu yang turut membantu dari segi sokongan moral kepada keluarga,” katanya.

Dua penuntut Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Pendidikan Jasmani IPG Kampus Perlis itu ditemukan lemas pada kira-kira 7.30 malam semasa melakukan aktiviti berkayak di Pantai Merdeka dekat Sungai Petani, Sabtu lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top