Jatuh cinta dunia lakonan

Jatuh cinta dunia lakonan


syafil.syazwan@hmetro.com.my

NAMA Asmidar barangkali sudah sinonim dalam kalangan pencinta muzik tempatan, terutamanya peminat lagu-lagu tradisional dan balada yang kaya dengan emosi.

Sejak mula mencipta nama sebagai juara program Vokal… Bukan Sekadar Rupa pada 2011, Asmidar terus berdiri teguh sebagai penyanyi bersuara unik dan berkarakter.

Namun pada tahun 2025, satu lembaran baharu terbuka dalam perjalanan seninya apabila dia tampil buat pertama kali sebagai pelakon dalam filem 6 Jilake, arahan pengarah prolifik Aziz M. Osman.

Meskipun tidak mempunyai latar belakang rasmi dalam dunia lakonan, Asmidar menganggap peluang ini sebagai satu rezeki yang tidak disangka-sangka.

“Saya balik rumah, tak boleh tidur. Betul, waktu itu memang saya rasa 50-50, rasa takut, sebab belum tengok skrip pun. Saya bukan pelakon,” katanya.

Filem 6 Jilake adalah karya berunsur aksi komedi yang berlatarkan dunia rekaan penuh warna, dan menampilkan pelakon-pelakon hebat seperti Amerul Affendi dan Bell Ngasri.

Dalam filem ini, Asmidar membawakan watak Kaswi, seorang wanita berdikari yang sudah melalui fasa perkahwinan yang gagal bersama Kasturi (lakonan Bell), dan kemudian bertemu Kuping (lakonan Amerul), seorang lelaki yang berprinsip dan kuat agama.

“Watak Kaswi ini sangat menarik kerana dia tahu apa yang dia mahu. Dia tinggalkan suami kerana dah tak tahan dengan perkahwinan yang penuh derita, dan mula buka hatinya kepada seseorang yang menghormati dirinya sebagai wanita,” katanya.

Biarpun pertama kali memegang watak utama, Asmidar menunjukkan komitmen tinggi dalam mendalami karakter yang diberi.

Dia mengambil inisiatif bertanya pada rakan-rakan pelakon mengenai proses kajian skrip dan cara memahami ‘backstory’ watak.

“Amerul banyak bantu saya. Dia ajar istilah lakonan, beri saya latar belakang watak supaya saya lebih faham dan yakin,” katanya.

Bagi Asmidar, antara babak paling mencabar adalah sewaktu Kaswi kehilangan anaknya.

“Ia bukan sekadar perlu menangis, tapi saya kena rasa kehilangan itu. Saya gunakan pengalaman peribadi, kehilangan seseorang yang penting dalam hidup untuk bina emosi dalam babak itu

“Babak romantik juga agak mencabar. Saya bukan orang yang romantik, jadi memang canggung. Tapi Abang Aziz selalu ingatkan, jangan drama sangat.

“Amerul pula banyak membantu, dia ‘tone down’ gaya lakonan dia untuk mudahkan saya,” katanya.

Sebelum ini, Asmidar pernah berlakon dalam teater muzikal P Ramlee The Musical, namun mengakui pengalaman itu sangat berbeza dengan cabaran membawa watak utama di layar perak.

“Saya rasa sangat tak layak pada mulanya. Tapi saya percaya pada kepercayaan Abang Aziz. Mungkin pandangan dia lebih tajam daripada saya sendiri,” katanya.

Filem 6 Jilake bukan sahaja menjadi permulaan Asmidar dalam dunia lakonan, tetapi juga simbol keyakinan diri dan keberanian mencuba sesuatu yang baharu.

“Saya jatuh cinta dengan dunia lakonan. Kalau ada rezeki, saya terbuka untuk teruskan. Tapi saya tahu banyak lagi yang saya perlu belajar. Saya mahu ambil kelas lakonan dan sedia terima kritikan membina,” katanya.

Menariknya, dalam filem 6 Jilake juga, Asmidar diberi peluang menyanyikan lagu klasik Sang Rajuna Hati.

“Saya memang suka filem-filem lama, jadi bila dapat gabungkan lakonan dan nyanyian dalam satu karya, saya rasa macam satu impian tercapai,” katanya.

Dari segi muzik, Asmidar tetap aktif dengan dua single yang dilancarkan tahun lalu, termasuk versi keroncong lagu popular Biar Sampai Ke Bintang dan lagu duet Kita Jumpa Lagi bersama penyanyi Singapura, Ahmadul Amin.

Asmidar membuktikan bahawa seni tidak pernah ada sempadan. Dari nyanyian ke lakonan, dia terus berkembang, perlahan, tapi penuh jiwa.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top