Arteta (kiri) masih gagal membawa Arsenal menjulang trofi utama sejak mengambil alih kelab pada Disember 2019. Foto Agensi
MASA depan Mikel Arteta di Arsenal dilaporkan masih berada dalam keadaan selamat, meskipun kelab itu sekali lagi menamatkan musim tanpa sebarang kejuaraan selepas tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara (UCL) di tangan Paris Saint-Germain (PSG) pada awal pagi Khamis.
The Gunners tersingkir secara agregat 3-1 selepas tewas 1-0 di Emirates dalam perlawanan separuh akhir pertama minggu lalu, sebelum kecundang 2-1 di Parc des Princes dalam aksi timbal balik.
PSG membuka jaringan menerusi Fabian Ruiz sebelum Achraf Hakimi menggandakan kedudukan, manakala Bukayo Saka menjaringkan gol saguhati buat Arsenal.
Kegagalan itu menyambung kemarau kejuaraan buat Arsenal sejak Arteta kali terakhir membawa pulang Piala FA pada musim 2019/20.
Walaupun mereka kini menduduki tangga kedua Liga Perdana Inggeris (EPL), peluang untuk menamatkan saingan di belakang juara musim ini, Liverpool masih belum terjamin bergantung kepada keputusan dalam baki empat perlawanan.
Menurut laporan Daily Mail, Arteta tidak berada dalam tekanan untuk dipecat dalam masa terdekat.
Pihak pengurusan kelab masih memberi kepercayaan kepada pengendali Sepanyol itu walaupun prestasi musim ini sekali lagi tidak disertai sebarang kejayaan trofi.
Laporan tersebut turut menekankan bahawa Arteta perlu mula merasakan tekanan memandangkan pelaburan besar yang telah dibuat di bawah kepimpinannya, termasuk pembelian pemain seperti Declan Rice yang mencecah £105 juta (RM630 juta) dari West Ham.
“Arteta mungkin akan berhujah bahawa pasukan ini semakin maju, namun realitinya, beliau telah membelanjakan lebih £600 juta (RM3.6 bilion. Dalam tempoh itu, Manchester City dan Liverpool berjaya meraih kejuaraan liga manakala cabaran Arsenal kian longlai dari musim ke musim,” kata laporan itu.
Sejak mengambil alih Arsenal pada Disember 2019, Arteta telah membawa kelab dari kedudukan kelapan kepada pesaing utama dalam kelompok empat teratas dan hampir mara ke final UCL.
Namun, tekanan kini semakin tinggi untuk beliau mengubah kemajuan itu menjadi pencapaian yang lebih bermakna.
Walaupun begitu, Arteta dijangka terus menerajui projek jangka panjang Arsenal, terutama dengan kehadiran pengarah sukan baharu, Andrea Berto.
Arteta menganggap kehadiran Berto sebagai langkah penting menjelang jendela perpindahan musim panas yang bakal menjadi antara paling aktif buat kelab.