Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang bersidang esok sebelum putuskan isu GISBH

Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang bersidang esok sebelum putuskan isu GISBH


BUKIT MERTAJAM : Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang akan bersidang selama dua hari bermula esok sebelum membuat keputusan mengenai kepercayaan dan ajaran dalam Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH).

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, jawatankuasa fatwa negeri seterusnya akan mempersembahkan keputusan itu kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim untuk memohon perkenan baginda.

Jelas Mohamad, ketika ini juga, pihaknya telah melakukan beberapa persediaan meliputi sudut pemulihan akidah dan pendidikan kepada ahli-ahli GISBH termasuk anak-anak mereka sementara menantikan keputusan fatwa dibuat.

“Persediaan itu dilaksanakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP) termasuk Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) susulan pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar sebelum ini.

“Jadi, sekarang ini kita menunggu keputusan itu (selepas persidangan selesai). Bagaimanapun, dari sudut (pandangan) JHEAIPP selepas pengumuman yang dibuat oleh Menteri Agama, kita juga telah bersiap sedia. Kita sediakan Kompleks Darul Hidayah di Permatang Tok Gelam untuk dijadikan pusat pemulihan akidah dan kita sediakan guru-guru takmir.

“Itu antara persediaan awal kita manakala berkaitan pendidikan pula, saya dimaklumkan, seramai 200 pelajar berusia antara tiga hingga 19 tahun (yang diselamatkan dalam Op Global) telah ditempatkan di satu lokasi di negeri ini untuk diberikan bimbingan psikologi bagi memulihkan semangat mereka,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perkembangan isu GISBH di Pulau Pinang.

Terdahulu, Mohamad yang juga Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang ditemui pada Majlis Penyerahan Skim Khas Suntikan Modal Perniagaan Zakat Pulau Pinang (ZPP) dan sidang media Penang International Halal Expo (PIHEX) 2024 di Seberang Jaya, di sini, hari ini.

Setakat ini, empat negeri telah mengisytiharkan amalan dan kepercayaan GISBH sebagai sesat iaitu Perlis, Selangor, Pahang dan terbaharu adalah Melaka.

Pada 11 September lalu, menerusi Op Global, polis telah melakukan serbuan terhadap 20 buah rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISBH kerana didakwa terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak serta agama.

Serbuan itu mendedahkan kes pengabaian dan penganiayaan, yang membawa kepada penahanan beberapa individu yang dikaitkan dengan GISBH.-UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top