am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Selangor Intelligent Parking (SIP) bukan hanya inisiatif untuk menambah baik sistem parkir pihak berkuasa tempatan (PBT), malah menjadi tunjang utama dalam merealisasikan konsep bandar pintar di Selangor.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Datuk Ng Suee Lim berkata, konsep bandar pintar adalah cara masa depan apabila SIP dirancang dengan visi yang lebih besar.
Menurutnya, sistem itu akan sejajar dengan inisiatif Smart Selangor bagi memenuhi agenda negeri yang lebih besar termasuk penubuhan pusat kawalan dan memanfaatkan kelebihan data raya.
Katanya, selain menambah baik sistem parkir, penambahbaikan dalam aspek keselamatan turut menjadi keutamaan.
“Sebelum ini, sistem parkir kita tidak mempunyai sistem kamera litar tertutup (CCTV) dengan pengawasan bersepadu atau ciri-ciri lain.
“Apabila menggunakan sistem (SIP) ini, ia akan akan mempunyai ciri-ciri sedemikian bermakna kita boleh mengintegrasikan operasi dengan pihak polis dan tidak akan terhad kepada parkir sahaja.
“Perkara ini boleh dilaksanakan bersama untuk seluruh Selangor pada masa akan datang. Ini adalah untuk fasa pertama, dan jika berjaya, kita boleh melanjutkan model ini ke seluruh negeri,” katanya.
Ng berkara demikian mengulas mengenai kebimbangan yang dibangkitkan oleh beberapa Ahli Parlimen Selangor yang mahu kerajaan negeri memberi penjelasan berhubung pelaksanaan sistem SIP yang dijangka pada 1 Ogos ini.
Mereka memaklumkan sistem itu boleh diterima jika terhadap jaminan bahawa projek itu tidak akan menjejaskan kepentingan awam termasuk kenaikan harga parkir.
Mereka terdiri daripada Ahli Parlimen Shah Alam Azli Yusof, Ahli Parlimen Subang Wong Chen, Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung dan Ahli Parlimen Selayang William Leong.
Pada sidang media di Parlimen, semalam mereka menyeru agar pelaksanaan SIP ditangguhkan sementara menunggu butiran lanjut mengenai inisiatif itu.
Sementara itu, Ng juga memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan memastikan pelaksanaan sistem parkir pintar yang dirancang akan menghasilkan situasi ‘menang-menang’ untuk semua pihak, termasuk PBT.
Beliau mengakui kerajaan negeri menyedari kebimbangan beberapa pihak mengenai inisiatif SIP, terutama kemungkinan kehilangan hasil bagi PBT.
“Kami telah bertemu ahli majlis (dari PBT yang terbabit dalam SIP). Kami mengambil berat kebimbangan mereka, tetapi masih mempunyai masa untuk meneliti kebimbangan ini bagi mencari penyelesaian,” katanya.
Mengenai pelaksanaannya, Ng berkata, mesyuarat Exco Selangor akan membincangkan isu-isu yang dibangkitkan untuk memastikan pelaksanaan SIP berjalan dengan lancar, hari ini.
“Tetapi jika lebih banyak masa diperlukan untuk perbincangan lanjut, kami akan melakukannya (menangguhkan pelaksanaan),” katanya.
Ng juga menjelaskan bahawa SIP untuk empat PBT yang terbabit iaitu Subang Jaya, Petaling Jaya, Selayang dan Shah Alam tidak akan mengikut model penswastaan tradisional.
Mengulas mengenai kos RM200 juta untuk pelaburan modal awal, yang akan ditanggung oleh syarikat konsesi Ng berkata, angka terbabit adalah anggaran jumlah yang meliputi keempat-empat PBT dalam tempoh lima tahun termasuk naik taraf CCTV dan sistem berkaitan.
© New Straits Times Press (M) Bhd