Pelakon Marissa Yasmin sudah menjangka akan menerima kecaman netizen susulan babak kontroversi yang memaparkan dirinya menjadi imam solat kepada jemaah lelaki dan perempuan.
Marissa, 48, berkata dia sedar adegan yang disiarkan dalam drama bersiri Walid itu boleh mengundang pelbagai tanggapan, namun dia menegaskan babak itu tidak dibuat untuk mengelirukan akidah, sebaliknya bertujuan menyampaikan mesej kesedaran kepada masyarakat.
“Saya memang sudah bersedia dari awal untuk menerima kecaman apabila menjayakan babak itu. Saya tahu akan ada yang marah dan mungkin menganggap saya cuba membawa sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Islam.
“Tetapi niat saya bukan ke arah itu. Saya melakonkan adegan tersebut untuk membuka mata penonton bahawa perkara seperti ini pernah berlaku dan masyarakat perlu sedar tentang isu itu.
“Apa yang saya cuba sampaikan ialah dalam Islam, wanita tidak menjadi imam kepada lelaki. Jadi kalau perkara seperti itu berlaku, masyarakat perlu lebih peka dan faham bahawa ia bukan sesuatu yang sepatutnya dinormalisasikan,” katanya.
Marissa berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Viu Together Gather dan Iftar yang berlangsung di Serai Hall, KLGCC Mall, Kuala Lumpur pada Rabu.
Dalam masa sama, Marissa berkata dia melakukan persediaan mental sebelum menjalani penggambaran adegan tersebut kerana bimbang ia boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan penonton.
Katanya, setiap kali mengetahui dia perlu melakonkan babak berkenaan, dia akan lebih banyak berdoa dan memohon keampunan agar niat sebenar lakonannya difahami dengan betul.

“Setiap kali saya tahu keesokan hari akan jalani babak itu, malam sebelumnya saya akan buat persediaan dari segi mental dan emosi.
“Saya akan berdoa dan memohon ampun kepada Allah. Saya jelaskan dalam doa bahawa apa yang saya lakukan ini bukan dengan niat untuk memesongkan sesiapa, tetapi semata-mata kerana tuntutan watak dan mesej yang mahu disampaikan.
“Memang ada rasa takut, sebab saya bimbang perkara yang kelihatan seperti menyimpang itu memberi kesan kepada diri saya. Sebab itu sebelum penggambaran, saya banyak minta keampunan dan doa supaya diberi kekuatan,” katanya.
Tambah Marissa, dia juga mendapatkan pandangan beberapa ustaz sebelum menjayakan adegan tersebut bagi memastikan mesej yang ingin dibawa dapat difahami dalam konteks yang betul.
“Saya ada juga bertanya dan mendapatkan pandangan daripada beberapa ustaz supaya saya lebih jelas dengan mesej yang hendak disampaikan.
“Tujuan utama babak ini adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat. Kami mahu penonton faham bahawa perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku dan orang ramai perlu lebih peka jika berdepan situasi seperti itu,” katanya.






