Dari kanan: Jazeman, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, Presiden Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM), Tan Sri Mokhzani Mahathir semasa di Rumah Terbuka Aidilfitri MAM di Heritage Kuala Lumpur.
BINTANG permotoran negara, Jazeman Jaafar bakal mencipta sejarah tersendiri apabila membuat penampilan sulung dalam Siri Super GT di Litar Antarabangsa Petronas Sepang yang dijadualkan pada Jun.
Jazeman akan bergandingan bersama pelumba muda berbakat dari China, Kerong Li, di bawah panji pasukan ternama, Earl Bamber Motorsport (EBM).
Pasangan pelumba ini akan mengemudi jentera berprestasi tinggi, Aston Martin Vantage GT3 EVO, yang menandakan kemunculan sulung EBM dalam kelas GT300 – salah satu kategori paling kompetitif dalam kejohanan itu.
Kolaborasi dua pemandu berbakat besar dari rantau Asia ini membawa harapan besar, terutama bagi Jazeman yang pernah mencipta nama dalam Kejuaraan Ketahanan Dunia FIA, perlumbaan 24 Hours of Le Mans dan Cabaran GT Dunia, selain berpengalaman sebagai Pemandu Pembangunan Pasukan Formula Satu Mercedes-AMG Petronas.
Rakan sepasukannya, Li pula sedang meningkat naik dalam Siri IMSA di Amerika Syarikat dan mula mencuri perhatian ramai di pentas Asia.
Mengulas mengenai penyertaan sulungnya dalam Super GT, Jazeman berkata: “Cabaran utama dalam perlumbaan ini ialah memahami karakter tayar. Peraturan tayar dalam Super GT sangat terbuka, namun Michelin telah menyediakan pakej kompetitif buat kami.
“Saya pernah memandu Aston Martin Vantage sebelum ini, tetapi versi EVO yang terkini memberi saya peluang untuk lebih memahami aspek aerodinamiknya. Kami bersedia untuk beraksi di laman sendiri dan mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.”
Pemilik pasukan EBM, Earl Bamber yang juga juara Le Mans, turut berkongsi keterujaannya menyertai Super GT buat kali pertama.
“Menyertai Super GT merupakan satu langkah besar bagi kami. Kami membawa pengalaman luas daripada pelbagai kejohanan GT3 ternama dunia dan percaya barisan pelumba kali ini mampu membawa kejayaan kepada pasukan,” katanya.