JBPM kemuka cadangan bina balai bomba kekal di JRTB

JBPM kemuka cadangan bina balai bomba kekal di JRTB


am@hmetro.com.my

Ipoh: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sudah mengemuka laporan cadangan pembinaan balai bomba kekal di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) di Gerik untuk tindakan kerajaan, kata Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Datuk Ahmad Izram Osman.

Katanya, ia dikemukakan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bulan lalu selepas kajian mengenai keperluan pembangunan balai berkenaan selesai.

Beliau berkata, ketika ini pos operasi sementara JBPM ditempatkan di laluan berkenaan yang terletak berhampiran Jeti Awam Pulau Banding, Gerik, susulan nahas yang meragut nyawa 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada Jun 2025.

“Kita sudah laksanakan kajian dan kita sudah hantar perkara itu ke peringkat kementerian untuk bawakan dalam Rancangan Malaysia yang paling dekat,” katanya ditemui pada Program Sumbangan Kebajikan JBPM Perak di Ibu Pejabat JBPM Perak, di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengarah JBPM Perak Datuk Sayani Saidon.

Sementara itu, Sayani berkata, pos operasi sementara bomba di Pulau Banding menempatkan satu jentera akan memberi respons segera jika terdapat sebarang insiden, berikutan jarak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) terdapat agak jauh.

“Anggota ditempatkan di pos operasi sementara ini terutama ketika musim perayaan, bukan setiap hari. Lokasinya juga di kawasan ‘hotspot’ hidupan liar berkeliaran,” katanya.

Pada Jun lalu, Ahmad Izram dilapor berkata, kajian mengenai pembinaan balai tambahan kekal di laluan JRTB Gerik-Jeli penting disebabkan tiada BBP di kawasan itu dan sebarang kecemasan perlu mendapatkan bantuan BBP Gerik yang mengambil masa kira-kira 45 minit untuk tiba

Terdahulu, pada program itu 12 anggota bomba yang terjejas banjir, baru-baru ini menerima sumbangan di bawah Persatuan Kebajikan JBPM Perak yang mempunyai 1,218 keahlian setakat Disember lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top