JBS Kelantan lonjak potensi atlet Para Sukma

JBS Kelantan lonjak potensi atlet Para Sukma


JABATAN Belia dan Sukan (JBS) Kelantan akan memperkemaskan barisan petugas sokongan dalam usaha melonjakkan prestasi atlet orang kurang upaya (OKU) negeri bagi menghadapi temasya Sukan Para Malaysia (Para Sukma) akan datang.

Pengarahnya, Mohd Saipuddin Zakaria berkata, pihaknya komited untuk memperkukuh pengurusan atlet termasuk dari segi latihan dan tenaga sokongan bagi memastikan Kelantan mencapai sasaran yang lebih tinggi dalam kejohanan sukan para terbesar negara itu.

Zamakhshari (kanan) diiringi Mohd Saipuddin (kanan), menyampaikan replika cek kepada atlet Para Sukma kerdil, Mazzdiana Nur Atasya Abd Rahim. – FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID

Menurutnya, walaupun kontinjen negeri berada di kedudukan keenam dalam edisi terakhir, pihaknya yakin dengan peningkatan berterusan, Kelantan mampu berada dalam kelompok tiga terbaik menjelang Para Sukma 2028.

“Kami menyasarkan peningkatan prestasi pada Sukma 2026 sebagai persediaan utama sebelum mencapai sasaran lebih besar pada 2028.

“Persiapan lebih awal amat penting, bukan sahaja dari aspek latihan atlet, tetapi juga dalam pengurusan dan sokongan teknikal,” katanya ketika Majlis Penyerahan Insentif Pencapaian Cemerlang Kontinjen Para Sukma XXI Sarawak 2024 Negeri Kelantan di Tunjong, Kota Bharu pada Isnin.

Hadir sama, Exco Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri Kelantan, Zamakhshari Muhamad.

Mohd Saipuddin berkata, antara langkah utama yang diambil ialah meningkatkan tenaga kerja dalam pengurusan atlet, termasuk jurulatih, pegawai pemantau dan pasukan sokongan yang lebih tersusun.

“Atlet memerlukan perhatian yang rapi, bukan sahaja dalam latihan, tetapi juga aspek psikologi, pemulihan kecederaan dan bimbingan berterusan.

“Kami melihat keperluan petugas yang juga fit agar atlet mendapat sokongan penuh,” katanya.

Barisan atlet para Sukma sukan angkat berat yang menerima insentif pada Isnin.- FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID

Barisan atlet para Sukma sukan angkat berat yang menerima insentif pada Isnin.- FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID

Selain itu, beliau memaklumkan bahawa program latihan atlet para Sukma dijalankan di Kompleks Belia dan Sukan Kelantan dengan fasiliti sedia ada.

“Setakat ini, kami tidak menghadapi masalah besar dari segi kemudahan kerana kompleks sukan yang ada cukup untuk menampung keperluan latihan atlet.

“Cuma dari segi penambahbaikan, kami akan memastikan fasiliti digunakan secara lebih efektif,” jelasnya.

Menurut Mohd Saipuddin, Kelantan mempunyai kelebihan dalam acara ‘powerlifting’ yang menyaksikan kontinjen negeri berjaya memecahkan empat rekod kebangsaan pada edisi terakhir.

“Angkat berat adalah antara sukan terkuat kami, tetapi kami juga melihat potensi dalam boccia dan lontar lembing.

“Atlet lontar lembing kita sudah meraih satu emas, jadi ini menunjukkan sukan ini juga berdaya saing,” katanya.

Tambahnya, pemilihan atlet baharu untuk Sukma 2026 masih dalam peringkat penilaian dan pihaknya akan menilai prestasi mereka melalui beberapa program yang akan dilaksanakan dalam tempoh sebulan dua ini.

“Kami akan pastikan atlet terbaik dipilih bagi mewakili Kelantan dalam Para Sukma 2026 sebelum membina pasukan yang lebih mantap untuk 2028,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top