Munoz Foto Johor Southern Tigers
PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz, meramalkan skuad kendaliannya bakal berdepan cabaran sukar menentang Bangkok United dalam aksi Kumpulan B Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) merebut Piala Shopee di Stadium Sultan Ibrahim, pada petang Khamis.
Menurut jurulatih kelahiran Sepanyol itu, kelab Thailand berkenaan memiliki ramai pemain berkualiti dan berupaya menghadirkan kejutan kepada skuad Harimau Selatan.
Justeru, beliau mengingatkan kesebelasan pemainnya supaya mengekalkan momentum selain mengelakkan kesilapan mudah ketika menentang pasukan yang digelar ‘Bangkok Angels’ itu.
“Siapa juga yang diturunkan kali ini perlu memberikan fokus sepenuhnya dan tidak melakukan kesilapan mudah.
“Kejayaan mengatasi Sabah dalam saingan Liga Super baru-baru ini tidak boleh dijadikan ukuran kerana saingan kali ini berbeza.
“Oleh itu, semua pemain perlu bersedia dengan corak permainan berintensiti tinggi daripada pelawat yang pastinya mahu ‘mencuri’ mata dalam perlawanan ini,” katanya.
Dalam pada itu, Munoz turut meramalkan corak permainan Bangkok United kemungkinan besar menyamai pendekatan yang ditampilkan Buriram United sebelum ini.
Bagaimanapun, katanya, skuad Harimau Selatan tetap berusaha mengekang serangan lawan selain cuba menembusi gawang pelawat sepanjang 90 minit perlawanan.
“Ketika menentang Buriram United tempoh hari, barisan pemain memperaga aksi konsisten sehingga 80 minit, namun baki 10 minit terakhir menyebabkan kita tewas buat kali pertama dalam ACLE (Liga Juara-Juara Asia Elite).
“Namun kali ini, senario itu tidak akan berulang dan kita akan mempersiapkan barisan pemain bagi mengharungi aksi getir ini,” jelasnya.
Ringkasan AI
- Pengendali JDT, Xisco Munoz, meramalkan cabaran sukar menentang Bangkok United dalam Kejuaraan Kelab ASEAN
- Kelab Thailand itu memiliki ramai pemain berkualiti yang boleh menghadirkan kejutan
- Pemain JDT perlu mengekalkan momentum dan mengelakkan kesilapan mudah
- Kejayaan mengatasi Sabah tidak boleh dijadikan ukuran kerana saingan dengan Bangkok United berbeza
- Munoz meramalkan permainan intensif dan mengharapkan pemain JDT bersedia sepenuhnya