SEREMBAN: Johor Darul Ta’zim (JDT) melebarkan penguasaan dalam kancah Liga Super apabila menewaskan Negeri Sembilan FC (NSFC) 1-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini, sebentar tadi.
Tandukan Manuel Federico Hidalgo menjadi pemusnah NSFC dengan gol tunggal ketika permainan memasuki masa tambahan tujuh minit selepas tamat 90 minit masa sebenar perlawanan.
Terdahulu, kedua-dua pasukan memulakan permainan dengan rentak pantas untuk mencari gol awal.
Barisan serangan NSFC yang diketuai Jovan Motika mengasak kubu lawan, namun berdepan barisan pertahanan JDT yang kental menyekat pemain lawan.
Pada minit ke-24, Oscar Aribas hampir meletakkan JDT di depan, tetapi sepakan derasnya ditampan keluar penjaga gol tuan rumah, Muhammad Azri Abdul Ghani.
Pemainan sedikit tegang apabila pemain kedua-dua pasukan dikenakan kad kuning kerana mengasari pemain lawan.
Pemain JDT yang dikenakan kad kuning ialah ketua pasukan, Mohd. Afiq Fazail dan Ager Aketxe Barrutia manakala Oday Kharoub yang pertama kali diturunkan oleh NSFC turut menerima nasib yang sama.
Sehingga separuh masa pertama berakhir, kedua-dua pasukan belum menemui sentuhan yang menghasilkan gol.
Memasuki babak kedua, saingan bertambah sengit dengan kedua-dua pasukan terdesak untuk mendapatkan jaringan pendahuluan.
Beberapa siri serangan sayap JDT oleh Bergson Da Silva dan Aribas berjaya dipatahkan gandingan pertahanan NSFC serta Muhammad Azri.
Pada minit ke-81, JDT mendapat peluang terbaik untuk meledak,namun tandukan Antonio Cristian Garcia daripada hantaran silang melepasi palang gol tuan rumah.
Ignacio Mendez Navia hampir menjaringkan gol pada minit ke-87, namun tandukannya tersasar di kiri gol NSFC.
Dengan keputusan itu, JDT terus kekal di puncak liga dengan 42 mata manakala NSFC kekal di tangga keenam dengan 17 mata.- UTUSAN





