July 15, 2024

JDT bedal skuad siswa, mara agregat 13-0

JDT bedal skuad siswa, mara agregat 13-0



rizar@mediaprima.com.my

Iskandar Puteri: Johor Darul Ta’zim (JDT) mudah mara ke separuh akhir Piala FA selepas menang dengan agregat 13-0 apabila membelasah pasukan Liga A1 Semi-Pro, Universiti Malaysia FC 8-0 pada aksi suku akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.

Skuad kendalian Hector Bidoglio selaku juara bertahan akan berdepan sama ada Kedah Darul Aman FC (KDA FC) atau Penang FC pada aksi separuh akhir pertama di gelanggang lawan, 20 Julai ini.

Pada pertembungan itu, Bidoglio menurunkan barisan terbaik dengan formasi 3-4-3 dalam usaha memperkukuhkan lagi kemenangan selepas membelasah skuad kendalian Ridzuan Abu Shah 5-0 dalam aksi suku akhir pertama, 29 Jun lalu.

Pesta gol JDT bermula pada minit ke-20 apabila Juan Muniz yang terlepas tiga peluang awal melepaskan rembatan lencong tepat ke penjuru kanan gawang menewaskan Syed Muhammad Irfan Syafiq.

Malang buat anak didik Ridzuan apabila pengadil, Muhamad Faizuddin Ismail tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti pada minit ke-26 selepas Muhammad Nashran Elias mengasari Francisco Geraldes di dalam kotak penalti.

Heberty Fernandes yang mengambil sepakan merembat kencang tepat ke penjuru kiri gol dan selang tiga minit kemudian Heberty mencetak gol kedua peribadi selepas menyambar bola hantaran Geraldes untuk meletak JDT selesa dengan jaringan 3-0.

Ketika aksi memasuki minit ke-34, JDT terus mengganas apabila menambah jaringan selepas Fairuz Baharuddin menjaringkan gol berpunca dari sepakan sudut Arif Aiman Hanapi untuk meletak tuan rumah berkedudukan 4-0.

Bersambung babak kedua, JDT meneruskan penguasaan dan hasil lorongan Matthew Davies menyaksikan Geraldes bertindak menyusup masuk ke dalam kotak penalti sebelum merembat bola leret bagi memastikan kedudukan 5-0.

JDT terus mengganas dan pada minit ke-72 berpunca dari bola umpanan Murilo Henrique membolehkan Romel Morales menggelecek pemain pertahanan lawan sebelum mudah menewaskan penjaga gol gantian, Amar Haziq Mohd Fadzli.

Bergson yang diturunkan pada aksi babak kedua turut mencetak nama selaku penjaring selepas menyudahkan sepakan lintang Arif Aiman pada minit ke-78 dan ketika aksi di penghujung permainan Morales mencetak gol kedua peribadi untuk memastikan kemenangan besar 8-0 memihak JDT.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top