Kesebelasan JDT mempamerkan semangat juang tinggi bagi melakar kejayaan sulung dalam saingan ACLE musim ini. – Foto Johor Southern Tigers
SKUAD Johor Darul Ta’zim (JDT) melakar kemenangan sulung dalam kempen Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) musim ini setelah menewaskan kelab China, Chengdu Rongcheng 2-0, di Stadium Phoenix Hill, Chengdu pada Selasa.
Menurut pemain sayap lincah Harimau Selatan, Arif Aiman Mohd Hanapi, secara keseluruhan perlawanan tersebut bukanlah satu tugas mudah memandangkan keadaan padang yang kurang memuaskan.
Bagaimanapun, pemain terbaik perlawanan (MOTM) ini menegaskan semangat juang tinggi rakan sepasukan menjadi kunci kejayaan malam ini.
“Perlawanan malam ini sangat sukar kerana keadaan padang yang agak teruk, tetapi tidak mengapa kerana kami tetap bermain dengan gaya permainan kami sendiri dan fokus untuk meraih kemenangan pertama dalam Liga Juara-Juara.
“Saya ingin ucapkan tahniah kepada semua rakan sepasukan kerana memberikan 100 peratus usaha dalam perlawanan malam ini,” katanya pada sidang akhbar sejurus tamat perlawanan.

Aksi mantap dipamerkan Arif Aiman membuatkan dia terpilih selaku pemain terbaik perlawanan. – Foto: Johor Southern Tigers
Pada aksi berkenaan, Oscar Arribas meledak jaringan seawal minit kelima sebelum Nacho Mendez melengkapkan kemenangan dengan menyumbat gol kedua pelawat pada minit ke-62.
Kemenangan itu menyaksikan JDT melonjak ke kedudukan kelima Kumpulan A dengan empat mata hasil satu kemenangan, satu seri dan satu kekalahan setelah mengharungi tiga perlawanan setakat ini.
Sementara itu, ketua jurulatih JDT, Xisco Muñoz, memuji pemainnya kerana menunjukkan disiplin taktikal yang tinggi serta bijak menyesuaikan diri dengan keadaan permainan.
“Pertama sekali, tahniah kepada semua pemain kerana mereka memberikan 100 peratus dan, yang paling penting, mereka faham situasi perlawanan serta tahu apa yang perlu dilakukan hari ini (Selasa).
“Kami sebenarnya boleh bermain dengan lebih baik kerana gaya kami adalah untuk mengawal permainan, tetapi pemain faham dengan keadaan padang dan menyesuaikan diri dengan baik.
“Apabila berdepan pasukan yang kuat dengan pemain berkualiti serta suasana perlawanan yang hebat seperti malam ini, kami benar-benar menikmatinya. Kemenangan ini dianggap sebagai bonus buat pasukan,” katanya.
Ringkasan AI
- SKUAD Johor Darul Ta’zim (JDT) mencatat kemenangan sulung dalam Liga Juara-Juara Asia Elit musim ini menewaskan Chengdu Rongcheng 2-0
- Kemenangan itu dicapai meskipun berdepan dengan keadaan padang yang kurang memuaskan
- Semangat juang tinggi pemain dianggap sebagai kunci kejayaan
- Oscar Arribas dan Nacho Mendez menjadi pencetak gol bagi JDT
- Kemenangan membolehkan JDT melonjak ke kedudukan kelima Kumpulan A dengan empat mata