Penyerang JDT, Bergson Da Silva (kiri), cuba melepasi kawalan pemain Melaka FC pada perlawanan berkenaan. – Foto Johor Southern Tigers
PENDAHULU Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT), meraih tiga mata berharga apabila menewaskan Melaka FC, 7-1 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), pada Jumaat.
Bermula garang sebaik wisel permulaan, skuad Harimau Selatan itu hanya memerlukan enam minit bagi membuka jaringan menerusi jaringan Jonathan Silva.
Gol itu dilihat semakin menyemarakkan semangat kesebelasan JDT untuk terus mengasak ke gawang Melaka FC bagi menambah jaringan.
Bagaimanapun, asakan-asakan tersebut dilihat gagal menepati sasaran selain berjaya dikekang pertahanan Melaka FC.
Minit ke-32, menyaksikan Stadium Sultan Ibrahim kembali bergema apabila Bergson Da Silva menanduk masuk gol kedua tuan rumah.
Selesa mendahului dua gol menyaksikan JDT tetap meneruskan asakan ke pintu gol Melaka FC bagi menambah jaringan, namun tiada jaringan tambahan berjaya dilakukan kedua-dua pasukan menuju ke bilik persalinan.
Bersambung babak kedua, JDT terus agresif memburu jaringan dan hasilnya pemain gantian Heberty Fernandes berjaya melepasi kawalan pertahanan sebelum merembat leret menewaskan penjaga gol Muhammad Haziq Aiman Mohd Esa pada minit ke-48.
Tiga minit berselang giliran Teto Martin untuk mencatatkan nama selaku penjaring apabila meledak jaringan pada minit ke-50.
Minit ke-58, giliran Bergson Da Silva menjaringkan gol kelima buat JDT sebelum Teto hun sekali lagi merobek gawang lawan pada minit ke-66 untuk gol ke enam JDT.
Pemain gantian Melaka FC, Azim Rahim berjaya menjaringkan gol saguhati buat pelawat hasil percubaan dari kawasan tengah padang yang sama sekali memerangkap penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi.
Bagaimanapun kehampaan itu berjaya ditebus Heberty Fernandes yang menjaringkan gol kelapan pada masa kecederaan dan sekali gus mengesahkan kemenangan skuad Harimau Selatan.
Ringkasan AI
- Johor Darul Ta’zim menang besar 7-1 ke atas Melaka FC di Stadium Sultan Ibrahim
- Jonathan Silva membuka jaringan enam minit selepas permulaan perlawanan
- Bergson Da Silva menjaringkan dua gol untuk JDT
- Heberty Fernandes juga menyumbang dua gol dalam kemenangan itu
- Azim Rahim menjaringkan gol saguhati untuk Melaka FC





