firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sasaran Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) nyata bukan hanya mahu layak ke pusingan kalah mati, tetapi lebih daripada itu.
Ia selepas gergasi bola sepak Malaysia itu terus memperkukuhkan pasukan dengan membawa masuk penyerang kelahiran Sepanyol, Jonathan Viera bagi memantapkan jentera hadapan JDT.
Menerusi pengumuman di laman sosial kelab itu, bekas penyerang Valencia itu akan dipertaruhkan untuk saingan ACLE.
“Penantian sudah berakhir! Jonathan Viera sudah tiba! Selamat datang ke Johor Darul Ta’zim (JDT)!” kata kelab dalam satu kenyataan.
Untuk rekod, Viera adalah pemain import kedua yang dibawa masuk untuk beraksi di peringkat Asia.
Awal hari ini, skuad Harimau Selatan itu mengumumkan kehadiran pertahanan kental, Alvaro Gonzalez.
Kehadiran Gonzalez yang juga rakan karib Cristiano Ronaldo di kelab Arab Saudi, Al Nassr diambil bagi memperkuatkan benteng pertahanan pasukan itu.
Selain Gonzalez dan Viera, difahamkan seorang lagi pemain dijangka menyertai JDT dan pemain yang dimaksudkan itu kemungkinan Roque Mesa.
© New Straits Times Press (M) Bhd