JOHOR Darul Ta’zim (JDT) terus dilihat sebagai kuasa utama dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M) musim 2025/26, meskipun saingan kali ini dijangka lebih sengit dengan penyertaan 14 pasukan dan kemasukan semula Brunei DPMM FC.
Penganalisis sukan tempatan, Afizal Abu Othman menyifatkan kestabilan organisasi dan perancangan jangka panjang yang konsisten menjadi faktor utama mengapa dominasi JDT sukar digugat, walaupun berlaku perubahan di posisi ketua jurulatih dengan kehadiran pengendali baharu dari Sepanyol, Xisco Munoz.
“Pasukan ini mempunyai struktur yang mantap, barisan pemain berkualiti dan budaya kemenangan yang konsisten.
“Dengan sokongan pengurusan profesional serta pengalaman luas di pentas Asia, mereka kekal sebagai pencabar utama kejuaraan,” ujar Afizal yang juga Pengarah Pusat Sukan Universiti Malaya (UM).
Musim lalu, JDT menamatkan kempen dengan sempurna apabila merangkul kejuaraan Liga Super buat kali ke-11 berturut-turut, selain menjuarai Piala FA dan Piala Malaysia sekali gus mencatat treble domestik buat musim kedua berturut-turut.
Pada Isnin, JDT mengumumkan kehadiran bekas pemain tengah Sri Pahang, Ibrahim Manusi sebagai rekrut terbaharu Harimau Selatan.
Ibrahim menjadi pemain baharu ketiga diumumkan JDT selepas dua tonggak import, Jairo Da Silva dan Antonio Glauder.
Ibrahim menarik perhatian peminat bola sepak tanah air apabila mempamerkan persembahan cemerlang bersama Sri Pahang terutama ketika aksi final Piala Malaysia menentang JDT di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 26 April lalu.
Malah, pemain berusia 23 tahun turut dicanang sebagai antara bintang yang mampu memperkuatkan skuad kebangsaan pada masa akan datang.
Afizal turut menyambut baik pertambahan kepada 14 pasukan musim ini, yang dilihat akan meningkatkan daya saing liga, terutama dengan kemunculan semula Brunei DPMM FC.
“Saya percaya kehadiran DPMM FC akan memberi warna baharu kepada liga dan mencabar pasukan-pasukan lain untuk meningkatkan prestasi,” jelasnya.
Dalam masa sama, Afizal menjangkakan Selangor FC akan menjadi antara pencabar terdekat kepada JDT berdasarkan prestasi memberangsangkan musim lalu yang menyaksikan mereka muncul naib juara liga dan menjuarai Piala Cabaran.
“Dengan komitmen tinggi di bawah bimbingan Katsuhito Kinoshi serta peluang beraksi di pentas Asia, Selangor FC dijangka tampil lebih konsisten musim ini,” tambahnya.