Pemain JDT menjalani latih menjelang aksi berdepan Penang FC pada Ahad. – Foto: FB Johor Southern Tigers
SKUAD Johor Darul Ta’zim (JDT) mahu menebus kekecewaan di pentas Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dengan memberikan fokus pada aksi Liga Super berdepan Penang FC di Stadium Bandaraya Pulau Pinang pada Ahad.
Menurut pengendali JDT, Hector Bidoglio, skuad Harimau Selatan itu akan turun dengan kesebelasan terbaik dalam usaha membawa pulang tiga mata, sekali gus melebarkan lagi rekod tanpa kalah pada musim ini.
“Perlawanan ini penting buat kita dan bagi menjamin kemenangan kita akan turunkan kesebelasan yang terbaik.
“Kita mahu mengekalkan momentum kemenangan walaupun bermain di tempat lawan.
“Oleh itu, pemain harus fokus, terutamanya dalam aspek ‘set-piece’ yang masih perlu diperbaiki. Selain itu, mereka perlu mengawal permainan dan mengelak daripada serangan balas lawan,” katanya.
Untuk rekod, JDT yang telah merangkul kejuaraan Liga Super buat kali ke-11 berturut-turut, kini mengumpul 58 mata.
Jika berjaya menewaskan Penang FC, mereka bakal mengukuhkan kedudukan dengan 61 mata, sekali gus mengukuhkan dominasi di Liga Super dengan rekod 70 gol setakat ini.
Sementara itu Bidoglio juga mahu kesemua pemain bersedia untuk memberikan aksi terbaik pada aksi berdepan skuad Harimau Kumbang itu.
“Kesemua pemain perlu memberikan yang terbaik kerana perlawanan ini bukan sekadar mempertahankan rekod tanpa kalah, malah persiapan penting menjelang final Piala Malaysia menentang Sri Pahang FC, kelak,” katanya.