mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Spekulasi mengenai masa depan calon pemain warisan Harimau Malaya, Nacho Mendez akhirnya terjawab apabila laporan dari Sepanyol mengesahkan pemain tengah itu menjadi milik Johor Darul Ta’zim (JDT).
Menurut akhbar terkemuka Sepanyol, El Comercio, bekas tonggak Sporting Gijon itu dikatakan sudah memuktamadkan penghijrahannya ke Malaysia dengan menandatangani kontrak selama tiga tahun bersama juara Liga Super 11 musim berturut-turut itu.
“Mendez sudah memuktamadkan perpindahannya ke Johor Bahru dengan ikatan tiga musim. Terdapat beberapa tawaran dari saingan Segunda División, termasuk daripada Levante, tetapi tiada yang benar-benar konkrit,” lapor akhbar berkenaan.
Difahamkan, pemain berusia 27 tahun itu tidak mahu menangguhkan keputusan kariernya dan mengambil risiko menunggu tawaran lebih baik, sekali gus membuat keputusan menerima tawaran JDT yang disifatkan ‘sukar untuk ditolak’.
Lebih menarik, langkah Mendez ke bumi Johor Bahru dijangka membuka laluan kepadanya untuk menjadi pemain warisan Harimau Malaya, selepas khabar angin sebelum ini menyatakan dia kini dalam fasa akhir proses mendapatkan kerakyatan Malaysia.
Jika semuanya berjalan lancar, pemain tengah itu dijangka menjadi salah satu watak utama dalam skuad negara menjelang kempen Piala Negara-Negara CAFA 2025 yang akan bermula hujung Ogos ini.
Bagaimanapun, El Comercio melaporkan Mendez pada awalnya agak keberatan menerima tawaran dari JDT kerana memikirkan perubahan besar dari aspek bola sepak, budaya dan persekitaran hidup.
Namun peranan penting dimainkan oleh Kiko Insa yang dikatakan berjaya memujuk Mendez agar menyertai projek besar JDT, sambil menekankan perkembangan pesat bola sepak Asia serta penglibatan JDT di pentas Liga Juara-Juara Asia (ACL).
“Dia menekankan tentang kekuatan projek JDT dan suasana kompetitif yang ada di Asia, selain peluang untuk beraksi dalam kejohanan besar seperti ACL Elite dan Piala Shopee,” lapor sumber itu lagi.
Sekiranya Mendez benar-benar sah menjadi pemain warisan, ia bakal menjadi satu lagi percaturan bijak oleh FAM dan JDT dalam memperkasakan skuad negara dengan pemain berkualiti tinggi dari luar negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd