Pemain JDT, Joao Vitor Figueiredo (tengah) diasak pemain Vissel Kobe, Kakeru Yamauchi (kiri) pada perlawanan Peringkat Liga Zon Timur Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2025-2026 di Stadium Sultan Ibrahim. Foto Bernama
MISI Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk melangkah ke pusingan kalah mati tercapai selepas melakar kejutan menewaskan gergasi Jepun, Vissel Kobe 1-0 dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) pada Selasa.
Kemenangan di Stadium Sultan Ibrahim itu membolehkan skuad Harimau Selatan mengesahkan tempat ke pusingan 16 terbaik kejohanan Asia itu.
Sebaik wisel permulaan ditiupkan, JDT yang perlu meraih kemenangan tampil dengan aksi agresif dan garang mengasak kubu skuad kendalian Michael Skibbe.
JDT hampir memecahkan kebuntuan pada separuh masa pertama menerusi rembatan deras Nene dari dalam kotak penalti, namun jaringan tersebut dibatalkan pengadil selepas pemain tuan rumah dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.
Bersambung babak kedua, JDT terus memperkemaskan rentak serangan dan sekali lagi gol JDT menerusi jaringan Marcos Guilherme pada minit ke-58 hasil umpanan Bergson da Silva dibatalkan kerana ofsaid.
Namun, semangat juang tinggi anak buah Xisco Munoz akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-74.
Guilherme menebus kekecewaannya sebelum itu dengan tenang menyudahkan hantaran lolos daripada Jairo da Silva untuk menewaskan penjaga gol Vissel Kobe, sekaligus memecah kebuntuan perlawanan.
Jaringan tunggal itu kekal sehingga tamat perlawanan, menyaksikan JDT mengakhiri saingan peringkat kumpulan di kedudukan keenam Zon Timur.
Dengan pungutan 11 mata, JDT berjaya menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik untuk meneruskan cabaran ke pusingan seterusnya.
Kejayaan ini juga dianggap sebagai ‘dendam terbalas’ buat JDT. Sebagai rekod, sejarah sebelum ini tidak memihak kepada Harimau Selatan apabila pernah tewas 1-5 kepada Vissel Kobe yang ketika itu diperkuat bekas bintang Barcelona, Andres Iniesta di Stadium Misaki Park pada Februari 2020.
Ringkasan AI
- Misi JDT untuk melangkah ke pusingan kalah mati tercapai selepas menewaskan Vissel Kobe 1-0
- Kemenangan membolehkan JDT mengesahkan tempat ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Asia
- JDT tampil agresif dan garang sejak permulaan perlawanan
- Gol kemenangan JDT dicetak oleh Marcos Guilherme pada minit ke-74
- Kejayaan ini dianggap sebagai ‘dendam terbalas’ buat JDT terhadap kekalahan sebelum ini kepada Vissel Kobe






