Penyerang JDT, Jorge Obregon cuba merembat ke pintu gol PDRM FC pada perlawanan berkenaan. – Foto Johor Southern Tigers
JDT kian hampir untuk mempertahankan trofi Liga Super buat kali ke-11, apabila meraih tiga mata berharga dengan menewaskan PDRM FC 4-0, di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, sebentar tadi.
Kemenangan itu menyaksikan JDT kini mengumpul mata 55 mata dan hanya memerlukan satu lagi kemenangan bagi mengekalkan trofi Liga Super di Selatan tanah air.
JDT bermula garang apabila mengatur asakan bertali arus ke gawang pelawat dalam usaha menjaringkan gol pembukaan.
Asakan demi asakan itu akhirnya membuahkan hasil apabila lorongan cantik Heberty Fernandes disempurnakan dengan baik oleh penyerang import, Jorge Obregon pada minit ke-13.
Gol berkenaan nyata menyemarakkan semangat kesebelasan Harimau Selatan untuk terus mengasak bagi menambah jaringan.
Bagaimanapun, deretan percubaan yang diperoleh gagal menepati sasaran selain berjaya dikekang benteng pertahanan lawan.
Pelawat juga sesekali dilihat cuba mencuri peluang dengan melancarkan serangan ke gawang tuan rumah, namun jentera serangan anak didik P Maniam itu gagal melepasi benteng skuad Harimau Selatan.
Sebaliknya, hasil satu serangan balas, JDT menambah jaringan pada minit ke-38, menerusi tandukan Corbin-Ong.
Selesa mendahului dua gol di hadapan, JDT terus melancarkan serangan dalam usaha menambah jaringan.
Namun tiada sebarang jaringan tambahan berjaya dihasilkan dan kedudukan 2-0 memihak tuan rumah kekal hingga tamat babak pertama.
Bersambung babak kedua, JDT semakin menggandakan asakan dalam usaha menambah jaringan dan kali ini pemain gantian, Jese Rodriguez pada minit ke-54.
Minit ke-80, menyaksikan seorang lagi pemain gantian Romel Morales menjaringkan gol keempat buat skuad Harimau Selatan.
Penghujung babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan gagal menambah jaringan dan kedudukan kekal hingga ke wisel penamat.